Paolo Maldini merupakan satu nama yang akan sentiasa dikenang sebagai antara pemain pertahanan terbaik sepanjang zaman berikutan aksi bertenaga ditampilkannya ketika menyarung jersi skuad kebangsaan Itali dan AC Milan.
Mempunyai kualiti hebat ketika berperanan sebagai bek kiri, Maldini juga mampu untuk menggalas tanggungjawab dengan baik sekiranya diletakkan di posisi bek kanan atau pertahanan tengah.
Selain daripada kemampuannya dalam melakukan bentesan kemas bagi mengekang asakan pemain lawan, Maldini juga mempunyai kawalan bola menarik serta mampu menjaringkan gol yang memukau.
Keadaan itu sudah cukup jelas untuk mengatakan Maldini sememangnya wajar dilabel sebagai pemain lengkap di posisi tersebut.
Mewarisi kehebatan bapanya
Seperti diketahui semua, mendiang bapanya, Cesare Maldini juga merupakan legenda AC Milan dimana beliau telah beraksi bersama skuad Rossoneri itu selama 12 musim.
Empat trofi Serie A berjaya dimenanginya [musim 1954/55, 1956/57, 1958/59 dan 1961/62] ketika menjadi tunjang jentera pertahanan kelab tersebut. Selain itu, mendiang turut merasai nikmat selaku juara Piala Eropah 1962/63.
Cesare yang membuat 412 penampilan bersama AC Milan sebelum memilih untuk berhijrah ke Torino pada musim 1966/67, pernah membimbing kelab tersebut sekitar tahun 1972 hingga 1974 dan kembali semula sebagai pengurus interim pada Mac 2001.
Tugasan sebagai pengurus interim itu juga menyaksikan beliau dapat bekerjasama dengan Maldini dalam satu pasukan.
Sebagai anak jati kelahiran Milan dan bapanya juga merupakan legenda kelab, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa keadaan itu mendorong Paolo Maldini untuk bekerja keras dalam memegang reputasi sama seperti bapanya.
Hanya AC Milan buat Paolo Maldini
Menyertai Akademi AC Milan pada tahun 1978 merupakan langkah pertama yang merintis perjalanan hebat dalam kariernya sehingga menjadikan beliau sebagai legenda bola sepak dunia.
Maldini membuat penampilan sulung bersama skuad utama seawal usia 16 tahun apabila pengendali pasukan pada ketika itu, Nils Liedholm menurunkannya ketika kunjungan ke Stadio Friuli bertemu Udinese [terikat 1-1] dalam kempen Serie A 1984/85.
Itu merupakan satu-satunya penampilan buat Maldini pada kempen tersebut tetapi memasuki musim berikutnya, beliau terus menjadi pilihan utama dalam menjadi tunjang jentera pertahanan meskipun pada usia begitu muda.
Maldini pada mulanya diletakkan di bek kanan tetapi disebabkan adanya Mauro Tassotti dan revolusi Arrigo Sachi, telah mengubah peranan beliau ke sebelah kiri. Perubahan yang sebenarnya membuahkan hasil yang benar-benar lumayan buat Maldini.
Enggan menoleh ke belakang meskipun peranannya berubah sehingga ke akhir kariernya apabila lebih banyak diletakkan di pertahanan tengah bersama Alessandro Nesta, semua itu tidak dihiraukan Maldini untuk terus menjadi tunjang kekuatan AC Milan.
Ia dibuktikan dengan kejayaan tujuh kali menjulang trofi Serie A, kejuaraan Liga Eropah [yang kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Eropah] sebanyak lima kali dan banyak lagi pencapaian hebat diraihnya, hanya bersama satu kelab sahaja iaitu AC Milan.
Beliau akhirnya mengumumkan persaraan pada penghujung musim 2008/09 ketika berusia 41 tahun kerana melihatkan kepada kudratnya semakin terbatas untuk beraksi dua perlawanan dalam tempoh seminggu.
Perjalanan 25 tahun yang luar biasa ditampilkannya dalam membantu AC Milan menjadi antara kuasa besar bola sepak di Eropah.
Kecintaannya terhadap AC Milan terus dicurahkan sehingga ke hari ini apabila Maldini bertindak selaku Pengarah Teknikal pendahulu saingan Serie A 2020/21 itu.
Bekas pengurusnya, Carlo Ancelotti mendedahkan langkah Maldini dalam membawa masuk pemain-pemain muda berbakat besar menjadi antara faktor kebangkitan yang semakin djelmakan AC Milan pada ketika ini.
Segala apa yang telah dicurahkan olehnya, tidak hairanlah AC Milan ‘merehatkan’ jersi bernombor tiga bagi memberikan penghormatan terhadap sumbangan hebatnya buat pasukan.
Maldini atau lebih dikenali dengan panggilan Il Capitano adalah lambang kesetiaan dan mampu menjadi inspirasi buat para pemain bola sepak pada ketika ini. Kesetiaan yang tiada tolok banding serta kehebatan aksi di padang cukup sukar digugat.
Kurang bernasib baik bersama The Azurri
Meskipun gagal meraih sebarang kejuaraan bersama skuad kebangsaan Itali tetapi Maldini masih mampu berbangga dengan pencapaiannya sebagai pemain yang paling banyak membuat penampilan Piala Dunia [23 perlawanan].
Beliau sekadar berpuas hati selaku naib juara Piala Dunia 1994 susulan tewas menerusi penentuan sepakan penalti ditangan Brazil dan tunduk 1-2 ketika aksi final Kejuaraan Eropah 2000 ketika bertemu Perancis.
Di pentas antarabangsa yang mana beliau telah membuat 126 penampilan dan menjaringkan tujuh gol, Maldini mengumumkan persaraannya sebaik sahaja tugasan Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan.
Mampukah Daniel Maldini teruskan legasi hebat ‘Dinasti Maldini’?
Dua orang anak lelaki Maldini turut mengikuti jejak langkahnya bergelar pemain bola sepak profesional iaitu Christian dan Daniel.
Christian yang turut beraksi sebagai pertahanan tengah dilihat gagal untuk menyinar apabila tidak mampu untuk memecah masuk ke skuad utama AC Milan dan ketika ini beliau menyarung jersi kelab Serie C, Pro Sesto.
Harapan kini diletakkan di bahu anak keduanya, Daniel yang berusia 20 tahun apabila beliau sudah diserapkan ke skuad utama bimbingan Stefano Pioli.
Daniel beraksi di jentera serangan dan beberapa kali diberikan peluang beraksi dalam kempen Serie A dan Liga Europa meskipun minit perlawananya tidaklah begitu memberangsangkan.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Adrien Jurad Chamrong: Kalau Tak Kerana Gol Itu, Orang Masih Ingat Saya Dari Thailand
https://www.vocketfc.com/kitman-wira-yang-tak-didendang-buat-pasukan-bola-sepak/