Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menafikan pemain yang baru ditandatangani, Guilherme De Paula berstatus pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim seperti yang viral di media sosial ketika ini.
Pengurus skuad Liga Super Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah menegaskan Guilherme memegang status sebagai pemain import dimana bekas penyerang Kuala Lumpur itu sedang dalam usaha untuk menjadi pemain naturalisasi bagi membolehkannya beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Guilherme De Paula sudah mengikat kontrak setahun dengan pasukan Perak sebagai pemain import. Bukan berstatus pemain pinjaman seperti ditularkan di media sosial.”
“Segala perkara berkaitan sedang diuruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apabila De Paula sudah mendapat pasport dan menjadi pemain tempatan, PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) merancang menambah kuota pemain import,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Guilherme dikhabarkan bakal kembali ke JDT setelah tempoh pinjaman bersama Perak tamat dan sepertimana yang dilakukan oleh Liridon Krasniqi yang beraksi bersama Melaka United musim lalu.
Ketika ini, Perak mempunyai tiga pemain import iaitu Guilherme serta dua pemain yang dikekalkan daripada skuad musim 2019 seperti Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca). Satu lagi slot akan diisi dalam masa terdekat.
Baca artikel lain mengenai pasukan Perak di sini:
Abu Bakar Fadzim Tidak Tolak Kemungkinan Perak II Gunakan Pemain Import
Perak Cari Seorang Lagi Pemain Import Ganti Tempat Hussein El Dor