Pasukan Selangor sekali lagi gagal dalam misi mereka untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA 2023 apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim semalam, hatrik Arif Aiman pada separuh masa pertama dan gol dari Fernando Forestieri pada separuh masa kedua sudan cukup untuk JDT menewaskan Selangor dan mara ke perlawanan buat kali kedua berturut-turut.

Selangor menerapkan corak permainan terbuka dan mereka mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan lawan dengan melancarkan beberapa gerakan serangan.

Akan tetapi, kesilapan yang dilakukan oleh Fazly Mazlan menjadi titik tolak kepada kejatuhan kelan dari Lembah Klang itu dimana corak permainan terbuka yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe membawa padah buat pasukannya.

Barisan tengah dan pertahanan Selangor gagal mengekang kemaraan barisan serangan JDT dan perkara ini memberi kelebihan kepada skuad Harimau Selatan.

Arif Aiman menunjukkan mengapa beliau menjadi pemain terbaik negara ketika ini dimana pemain itu mudah memperdaya barisan pertahanan Selangor.

Dominasi yang ditunjukkan oleh pemain JDT di atas padang juga gagal dipecahkan oleh pemain lawan sekaligus membolehkan mereka mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Kuala Lumpur City.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir, KL City menewaskan Terengganu menerusi sepakan penalti sekaligus mara ke perlawanan akhir ketiga dalam tempoh tiga tahun.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada 22 Julai dan Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai venue.