Kekalahan kepada Negeri Sembilan FC pada minggu lalu menjadi pengajaran berguna buat Sabah FC untuk memperbaiki ketajaman penyudah dalam menghadapi aksi seterusnya bertemu PJ City FC, pada Rabu.

Bagi ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, beliau melihat jika sesuatu pasukan itu gagal menggunakan peluang yang terhidang, perkara itu akan berikan keyakinan serta kelebihan kepada pihak lawan.

Justeru, beliau mengharapkan skrip yang sama tidak berulang di Stadium Likas dengan PJ City atau mereka bakal berputih mata sekali lagi di laman sendiri.

“Jika lihat semasa berdepan Negeri Sembilan tempoh hari, kami banyak mengawal permainan dan cipta peluang, tetapi sayangnya satu pun tidak dapat disempurnakan termasuk sepakan penalti.

“Situasi itu berikan keyakinan kepada pihak lawan apabila mereka menyerang dn kita dihukum, jadi saya tidak mahu perkara sama ketika berdepan PJ City.

“Walaupun mereka terdiri 100 peratus pemain tempatan namun perlu diingatkan majoriti mereka sudah bermain bersama selama tiga tahun selain punyai ramai bekas pemain kebangsaan.

“Malah mereka bermain tanpa sebarang tekanan dalam semua perlawanan dan sentiasa mahu buktikan yang mereka boleh bersaing biarpun tanpa pemain import.

“Kami tidak boleh memandang rendah akan kemampuan PJ City yang saya tidak boleh nafikan kekuatan utama mereka adalah disiplin dalam kalangan semua pemain semasa menyerang dan bertahan,” katanya kepada MFL.

Berbeza dengan Sabah, PJ City bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Melaka United FC, 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menerusi jaringan S. Kumaahran.

Rekod pertemuan musim lalu memihak kepada PJ City yang menang dua dari empat perlawanan namun aksi terakhir dimenangi Sabah pada peringkat kumpulan TM Piala Malaysia yang ketika itu telah dikendalikan Kim Swee melalui keputusan 1-0.

Dalam pada itu, Kim Swee mengharapkan peminat Sabah mampu bersabar dengan kemampuan pemain-pemain baharu terutamanya penyerang dari Brazil, Neto Pessoa.

“Semua pemain masih memerlukan masa untuk serasi kerana ini kali pertama mereka bermain bersama-samadan beri mereka ruang kerana akan lebih banyak perlawanan yang kita akan lalui nanti.

“Seperti Neto, dia memang hendak menjaringkan gol tetapi tidak dapat berbuat demikian dan kalau hendak mengkritik dia hanya berdasarkan satu perlawanan, saya rasa tidak adil.

“Kita akan tengok dari dua hingga empat perlawanan bagaimana prestasinya dan jika dia gagal menyinar, barulah darisitu mungkin boleh difikirkan sesuatu,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam

Kemelut Memalukan Berakhir, PAFA Digantung Enam Bulan

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium

Hasbullah Yakin Melaka United Akan Kembali Bangkit Buru Kemenangan