Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani tidak rela diketepikan buat kali kedua dalam perlawanan ketiga TM Piala Malaysia menentang PJ City FC selepas berdepan kecederaan harmstring pada aksi pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), bulan lalu.
Bekas pemain Penang FC itu kini hampir pulih sepenuhnya apabila sudah kembali berlatih di padang bersama pasukan dan bersedia untuk diturunkan pada 29 Oktober ini.
Nurshamil mengakui pada awalnya terkilan apabila mengalami kecederaan pada saat pasukan sedang bersaing sengit dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia dan terpaksa diketepikan dalam aksi kedua menentang Sabah FC sebelum Liga Malaysia berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan.
Namun, dia lega apabila kecederaannya beransur pulih dan percaya mampu untuk meneruskan aksi dalam baki empat perlawanan bagi merebut slot ke suku akhir Piala Malaysia.
“Saya dah boleh kembali ke padang untuk berlatih, cuma sekarang bergantung kepada diri saya sendiri untuk tengok adakah masih ada rasa sakit atau tidak sebab kalau nak ikutkan, saya memang dah pulih sepenuhnya.
“Masa mula-mula cedera, memang sedih juga sebab ini kecederaan pertama yang saya alami, apatah lagi ketika bersaing di pentas Piala Malaysia, tetapi benda dah jadi, sekarang saya nak fokus betul-betul agar dapat main balik lawan PJ City nanti.
“Tambahan pula, pasukan akan berdepan aksi persahabatan menentang Terengganu FC selepas ini, jadi mungkin saya akan diturunkan dalam perlawanan itu terlebih dahulu untuk lihat balik sejauh mana tahap kecergasan saya”, jelasnya.
Dalam pada itu, penjaring terbanyak tempatan Liga Premier 2021 ini menegaskan peluang untuk Kelantan FC mara ke suku akhir masih belum tertutup meskipun dilihat sebagai pasukan bukan pilihan jika dibandingkan dengan JDT, Sabah dan PJ City FC dalam Kumpulan D.
Bahkan, mereka tidak ketinggalan jauh dengan lawan lain apabila meraih satu mata selepas dua perlawanan selain percaya pasukan mampu untuk mencipta kejutan sekiranya mereka kekal fokus bagi memburu kemenangan berterusan selepas ini.
“Peluang Kelantan masih ada dan dengan kedudukan sekarang, kita tidaklah terlalu jauh apabila PJ City juga meraih satu mata dan Sabah dengan dua mata setakat ini.
“Kalau kita beri komitmen lebih 100%, saya percaya tiada yang mustahil untuk pasukan membuat sesuatu dan meraih keputusan positif selepas ini.
“Dengan bimbingan dari jurulatih Rezal sekarang, kami semua senang nak faham apa yang dia nak, jadi tiada masalah untuk kami menerapkan apa yang diarahkan terutamanya pemain-pemain muda yang selesa dengan beliau”, tambah Nurshamil lagi.
Kelantan ketika ini berada di tangga tercorot Kumpulan D dengan 1 mata manakala JDT di kedudukan teratas selepas menang dua perlawanan berturut-turut diikuti Sabah di tangga kedua dan PJ City FC di tangga ketiga.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Selesai Lakukan Pembedahan Plastik, Tomas Soucek Terus Mahu Beraksi
Steve Bruce Tinggalkan Newcastle United Dengan Persetujuan Bersama
Simeone: “Kad Merah Griezmann Tu Betul, Saya Marah Sebab Kalah”