Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo mengesahkan bahawa pemain sayap, Gareth Bale tidak akan kembali bersama kelab tersebut bagi menghadapi kempen 2021/22.
Bale yang masih memiliki baki kontrak selama setahun bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid telah dipinjamkan ke Tottenham pada musim lalu.
Kembali seketika bersama pasukan yang ditinggalkannya pada musim 2013/14 itu menyaksikan Bale berjaya meledakkan 11 jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Lebih menarik, beliau berjaya meledakkan hatrik pada pertemuan menentang Sheffield United dimana pada perlawanan tersebut, Tottenham mencatatkan kemenangan 4-0 di laman sendiri.
Dengan sumbangan berkesan dicurahkannya sudah pastinya menjadi harapan buat para peminat kelab London itu untuk melihat Bale terus menjadi sandaran di jentera serangan.
Namun, ia seperti tidak mampu untuk direalisasikan berikutan pengesahan daripada Nuno tersebut serta Bale turut dikatakan berada dalam perancangan pengendali baharu Real Madrid, Carlo Ancelotti pada musim ini.
“Gareth Bale tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad kami,” ujar Nuno menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
Sebagai rekod, Gareth Bale telah membuat 237 penampilan bersama Tottenham Hotspur dan berjaya meledakkan 72 gol dan mencipta 61 bantuan jaringan dalam semua pertandingan yang disertai kelab tersebut.
Seperti yang sudah diketahui, pelbagai kejuaraan dirangkul Bale sebaik sahaja menyertai Real Madrid seperti empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (2013/14, 2015/16, 2016/17 & 2017/18) dan La Liga bagi musim 2016/17 dan 2019/20.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:
TERKINI: Barcelona Berdepan Jalan Buntu Nak ‘Tolak’ Griezmann Ke Atletico Kerana Gaji Dan Saul
Youth Football Malaysia Senaraikan Pemain Yang Mungkin Dipanggil Hadapi Kelayakan AFC B-23