Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk itu sebaik sahaja tahun 2023 berakhir.

Baca Juga:

Menurut kenyataannya dalam satu sidang media khas semalam, keputusan itu tidak didorong oleh mana-mana pihak malah ia tiada kaitan dengan isu yang membabitkan Datuk Misbun Sidek dan BAM ketika ini.

Beliau juga mendedahkan sudah ada beberapa calon yang layak untuk menggantikan tempatnya.

“Pada kesempatan ini, saya ingin maklumkan bahawa saya akan melepaskan jawatan selaku Presiden BAM hujung tahun ini. Keputusan ini tidak didorong oleh apa-apa sebab dan tiada kaitan dengan apa yang berlaku ketika ini.

“Saya melihat perkara ini perlu dilakukan kerana sudah ada individu yang layak untuk mengambil alih tugas saya di BAM,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro.

Norza sebelum ini membuat pengumuman bahawa akan mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai lalu kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

“Kenapa perlu tunggu jika sudah ada calon berpotensi. Saya sudah ada dua tiga nama yang berpotensi (ambil alih jawatan) dan nama-nama tersebut sudah diserahkan kepada majlis,” katanya.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Untuk rekod, Norza mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.