Penyerang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Van Toan menyifatkan dua lawan serantau, Malaysia dan Indonesia kini telah menjadi pasukan yang kuat menjelang pertemuan menentang kedua-dua pasukan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Memetik sumber Vietnam News, Van Toan berpendapat sedemikian selepas melihat Indonesia melakukan rombakan besar-besaran pemain manakala Malaysia pula mendapat tenaga tambahan dengan kehadiran pemain naturalisasi [Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi].

Meskipun Vietnam berada di tangga teratas saingan kumpulan G hasil tiga kemenangan dan dua keputusan seri bagi mengumpul 11 mata, Van Toan sedar ancaman yang bakal diberikan Malaysia dan Indonesia walaupun masih yakin dengan kemampuan pasukannya untuk mencatatkan keputusan positif.

“Pada saya, Indonesia sentiasa menjadi lawan yang sukar buat kami, sementara itu, Malaysia kelihatan semakin kuat,” ujar Nguyen Van Toan.

“Walaupun pada perlawanan pertama kami berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 [bertemu Indonesia], mereka telah menukar hampir keseluruhan pasukanĀ  dan kami tidak mempunyai banyak informasi tentang Indonesia.”

“Bagaimanapun, kami telah melakukan analisis video beberapa pemain mereka. Saya berharap pada perlawanan nanti, Vietnam akan menunjukkan keyakinan dan beraksi dengan baik.”

“Bagi Malaysia pula, saya merasakan mereka telah meningkat dengan tambahan ramai pemain naturalisasi. Tetapi, Vietnam masih yakin berhadapan dengan lawan ini,” tambah beliau lagi.

Baki perlawanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu menyaksikan Vietnam akan berhadapan dengan Indonesia pada 7 Jun, Malaysia menanti berselang empat hari kemudian dan pertemuan terakhir menentang tuan rumah pada 15 Jun.

Baca artikel tentang perkembangan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023:

Penyerang Prolifik Vietnam Mahu Jaringkan 3 Gol Lawan Malaysia

Tan Cheng Hoe: Dion Cools Dapat Sesuaikan Diri Dengan Baik

Van Marwijk: “Keputusan Perlawanan Persahabatan Malaysia Mungkin Adalah Satu Penipuan”

Sumber