Pada Isnin lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter bermula 15 Jun ini.
Setelah hampir 4 bulan berehat, skuad Liga Premier, Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama Liga Malaysia yang turun menjalani latihan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ini.
Sesi latihan itu diadakan secara tertutup mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mendapat kebenaran daripada Malaysia Football League (MFL).
“Latihan skuad Negeri Sembilan berpandukan SOP ditetapkan pihak berkuasa dan akan diadakan secara tiga sesi dengan setiap sesi membabitkan hanya 10 pemain dan empat pegawai.
“Setiap SOP ditetapkan MFL, MKN dan KKM akan dipatuhi sepenuhnya termasuk penjarakan sosial antara pemain selain pemeriksaan suhu badan sebelum latihan manakala selesai tempoh latihan pemain dikehendaki terus pulang ke rumah,” Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidon.
#PKPP: Negeri Sembilan merupakan pasukan pertama jalani latihan mengikut SOP di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ini setelah dapat kebenaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
📷 MFL pic.twitter.com/9AucFK5uvF
— BERNAMA (@bernamadotcom) June 16, 2020
Sementara itu, pemain pertahanan skuad itu, Shahrom Kalam, mengakui cukup gembira dapat kembali semula di atas padang setelah ‘dikuarantin’ dalam tempoh yang lama di rumah bagi membendung penularan wabak pandemik.
“Pertama sekali, sebaik kami sampai di padang latihan hari ini, saya boleh nampak semua pemain terlalu teruja selepas tiga bulan kami tidak pernah turun menjejakkan kaki ke padang malah semua berikan komitmen lebih 100 peratus.
“Daripada segi SOP, kami semua langsung tidak ada sebarang masalah untuk ikut terutama dalam penjarakan sosial biarpun tidak dinafikan ada perasaan janggal pada awal hingga akhir latihan.
“Apa yang penting, saya rasa amat bersyukur kami sudah boleh jalani latihan kerana itu paling mustahak berbanding berlatih secara bersendirian sebab cukup penting kami berjumpa sesama sendiri memandangkan bola sepak adalah sukan berpasukan,” katanya dalam Arena Metro
Saingan Liga Super dan Liga Premier yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas, dijangka bersambung semula pada bulan September ini jika mendapat kebenaran rasmi daripada MKN.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Semua Pemain Pasukan Liga Malaysia Wajib Menjalani ‘Swab Test’ Sebelum Turun Menjalani Latihan