Sejarah kewujudan sesebuah kelab sudah pastinya berbeza atas pelbagai faktor yang berkait rapat pada ketika peringkat awal penubuhan kelab atau apabila berlaku pertukaran struktur liga dan sebagainya.

Minggu ini VOCKETFC mahu membawa anda semua untuk menyelusuri secara ringkas bagaimana kelab yang kini hangat dengan kehadiran bintang tersohor Thailand, Chanathip Songkrasin yang pada asalnya adalah sebuah kelab bola sepak kilang Toshiba di sekitar kawasan Kawasaki dan bukannya di Sapporo.

Kelab ini ditubuhkan pada tahun 1935 sebagai sebuah pasukan bola sepak kilang Toshiba dengan menggunakan nama asal Toshiba Horikawa-cho Soccer Club.

Nama yang sama digunakan sehingga mereka berjaya mendaki ke saingan divisyen 2 Liga Jepun pada ketika itu yang dikenali Japan Soccer League (JSL) pada 1978 dan akhirnya pada 1980, nama kelab ditukar kepada Toshiba Soccer Club.

m48302639128_1

Toshiba SC pernah beraksi dalam saingan divisyen 1 JSL pada 1989.

Nota: JSL adalah sebuah liga yang berada dalam hierarki tertinggi bola sepak Jepun dari 1965 sehingga 1992 sebelum liga profesional iaitu J.League diperkenalkan pada 1993.

Ketika Jepun menganjak ke era bola sepak profesional, banyak perkara yang dipertimbangkan demi kelangsungan kelab pada masa itu dan salah satunya adalah berkaitan dengan hometown dan lokaliti kelab.

Toshiba SC yang berpangkalan di Kawasaki mahu muncul sebagai kelab profesional, tetapi selepas mengambil kira faktor seperti kewujudan kelab Verdy Kawasaki dalam kawasan yang sama, mereka telah membuat keputusan untuk ‘berhijrah’.

Mereka tidak mampu untuk ‘menang’ dalam ‘perebutan’ penyokong dalam komuniti itu disebabkan kewujudan beberapa kelab yang lebih besar pengaruhnya.

Nota: Verdy Kawasaki juga ‘berhijrah’ dari Kawasaki ke Chofu diseberang Sungai Tama, dan menukar nama mereka kepada Tokyo Verdy tidak lama selepas itu dan meninggalkan kelab Fujitsu di Kawasaki. Kini kelab Fujitsu itu dikenali sebagai Kawasaki Frontale.

東芝1

Berbalik kepada Toshiba SC, mereka mencari sebuah pangkalan baru sebagai tapak untuk menjadi kelab profesional.

Pada ketika itu, Sapporo memang merancang untuk memiliki sebuah kelab bola sepak kerana Sapporo Dome pada ketika itu bakal siap pada 2001. Sapporo Dome memang dibina untuk digunakan oleh 2 sukan utama iaitu baseball dan bola sepak.

Oleh kerana ‘demand’ dan sokongan yang ada dari pihak kerajaan tempatan dan komuniti yang ‘lapar’ bola di Sapporo, syarikat Toshiba yang selaku pemilik kelab memindahkan hak milik itu kepada Consadole Sapporo sebelum musim 1996 bermula.

Disini memang kita dapat lihat bahawa dari awal lagi J.League dimulakan dengan menetapkan kelab perlu mempunyai hometown masing-masing untuk memupuk rasa dalam diri penyokong disesebuah lokaliti itu memberikan sokongan.

Toshiba SC atau Consadole Sapporo bukan satu-satunya kelab yang melakukan perkara ini dan masih banyak lagi kelab yang berpindah randah mencari hometown masing-masing malahan ada juga yang sudah lenyap.

Nota akhir: Syarikat Toshiba kini mempunyai pasukan bola sepak sendiri yang dikenali sebagai Toshiba FC Eagles dimana pemain-pemainnya adalah terdiri dari pekerja kilang syarikat itu di Tsurumi, Yokohama.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Bekas Jurulatih Berkongsi Kisah Bagus Kahfi Dan Hamsa Lestaluhu Ketika Beraksi Untuk Frenz United

Kontrak Berbaki 3 Tahun Lagi, Bapa Chanathip Dedahkan Ada Kelab Top 5 J1 League Dan Eropah Mahu ‘Sign’ Anaknya

Malaysia Berisiko Terlepas Slot Automatik AFC Champions League Jika Gagal ‘Perform’ Diperingkat Asia 2021