Nama Scott McTominay kini sedang meningkat naik di Itali. Sejak berpindah dari Manchester United ke Napoli dengan nilai £26 juta pada 2024, pemain kebangsaan Scotland ini terus menjadi pujaan peminat di Naples sehingga mendapat gelaran ‘McFratm’ (Our Bro).
Namun, tidak semua orang kagum dengan impak McTominay. Bekas bintang tengah AS Roma dan Inter Milan yang terkenal dengan kelantangannya, Radja Nainggolan, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berani dengan menyifatkan McTominay sebagai pemain yang “biasa-biasa” sahaja.
“Tak Pandai Bina Permainan”
Walaupun McTominay telah memenangi anugerah MVP Serie A, menjulang Scudetto, dan baru sahaja dicalonkan dalam senarai Ballon d’Or, Nainggolan tetap tidak tertarik dengan gaya permainan pemain berusia 29 tahun itu.
“Saya tidak sukakannya (gaya permainan McTominay). Dia mungkin boleh skor banyak gol, tapi dalam aspek permainan secara umum… dia tiada teknik yang cukup untuk membina permainan di celah-celah kawasan lawan.
“Bagi saya, dia cuma pemain biasa-biasa sahaja,” ujar Nainggolan menerusi Sky Calcio Unplugged.
Untuk rekod, McTominay memang prolifik di bawah kendalian Antonio Conte dengan rekod 26 gol dalam 76 penampilan—satu angka yang luar biasa bagi seorang pemain tengah.
Nainggolan Dakwa Dirinya Lebih Hebat
Bukan sekadar mengkritik McTominay, pemain berdarah kacukan Belgium-Indonesia itu turut membandingkan dirinya dengan bintang-bintang Serie A zaman sekarang.
Nainggolan mendakwa ketika di kemuncak prestasi, dia lebih hebat berbanding McTominay dan Hakan Calhanoglu.
Namun, dia mengakui bintang Inter, Nicolo Barella, berada di tahap yang lebih tinggi daripadanya.
Dia turut memberikan penghormatan kepada Kevin De Bruyne dan Luka Modric sebagai antara pemain terbaik dunia yang sukar dicabar.
‘McFratm’ Tetap Hero Di Naples
Walau apa pun kritikan yang dilemparkan, penyokong Napoli nampaknya tidak peduli. Wajah McTominay kini menghiasi mural-mural di sekitar bandar Naples—satu penghormatan yang biasanya hanya diberikan kepada legenda seperti Diego Maradona.
Selain Scudetto, McTominay juga membantu Napoli memenangi Supercoppa Italiana pada Disember 2025.
Walaupun Inter Milan merampas kembali takhta liga musim ini, saham McTominay tetap tinggi di mata pemerhati bola sepak Eropah, kecuali di mata Nainggolan.
Adakah McTominay benar-benar ‘world-class’ atau sekadar pemain yang bernasib baik berada dalam sistem Antonio Conte? Kongsikan pendapat korang.