Juara bertahan, Selangor MAC memulakan kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 dengan nota kemenangan apabila menundukkan PFA Odin Sarawak 5-1 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.
Berdepan lawan yang membuat penampilan pertama dalam saingan liga paling berprestij di tanah air itu, Selangor MAC bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah meskipun dilihat lebih menguasai permainan.
Selain itu antara perkara yang jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini pastinya ketangkasan dipamerkan Muhammad Syawal Sabaruddin (Selangor MAC) dan Mohamad Faezwan Ashwandie Ahmad (PFA Odin Sarawak).
Kem Selangor MAC melonjak kegembiraan pada minit kelima apabila Matheus Vasconcelos Silva merembat masuk bola selepas menerima umpanan baik daripada Syed Aizad Daniel Syed Nasir.
PFA Odin Sarawak yang dibimbing Mohd Faizal Zamri sesekali mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan tetapi penyudah kurang berkesan serta ketangkasan Syawal menggagalkan usaha tersebut.
Deretan peluang yang dimiliki Selangor MAC juga terutamanya menerusi rembatan deras daripada luar kawasan D tidak mampu untuk menambah jaringan sehingga ketika aksi hanya tinggal beberapa saat untuk ditamatkan.
Berpunca daripada gerakan lincah Syed Aizad, beliau kemudiannya melakukan lorongan kemas yang mudah buat Aidil Shahril Rosli untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat separuh masa.
Memasuki babak kedua, Mohamad Faezwan terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Muhammad Aidil Izwan Mazlan dan Muhd Bukhari Samsudin masing-masing menambah satu gol dalam tempoh masa tiga minit buat Selangor MAC dan kemudiannya Georgi Kinkladze Tom memberikan hadiah saguhati buat pasukan pelawat.
Ketika aksi hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Wan Muhammad Nur Azhar Wan Ahmad tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang sepakan penjuru kapten Selangor MAC, Fariq Mohammad.
Keputusan 5-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Edgar Eder Baldsso itu.