Pahang Rangers mengekalkan rekod kemenangan dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 apabila mudah menundukkan Kedah 8-2 pada aksi ketiga yang berlangsung di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan sebentar tadi.
Baca Juga:
- MPFL 2023: Pahang Rangers ‘Kenduri Gol’ Tundukkan Sabah
- Selangor MAC, Pahang Rangers Rekrut Pemain Kelab Liga Super Futsal Iran
- Matheus Gonzalez Perkuatkan Skuad Pahang Rangers
Kemenangan ketiga berturut-turut itu terus meletakkan skuad kendalian Gerard Casas Ullastre tersebut ditangga teratas kumpulan A untuk mengumpul sembilan mata, berkelebihan tiga mata dihadapan Pulau Pinang yang akan beraksi pada malam ini.
Dilabel sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai saingan, Pahang Rangers menampilkan corak permainan meyakinkan untuk memburu jaringan.
Gol pertama naib juara dua musim berturut-turut itu hadir pada minit kesembilan menerusi Muhammad Khaiyum Mohd Khaimi yang menolak masuk bola hasil hantaran menerusi sepakan penjuru oleh Amin Nasrollah Zadeh Hosseinali.
Seminit kemudian giliran pemain import dari Brazil, Matheus Augusto De Oliveira Gonzalez yang melakukan tolakan melepasi celah kaki penjaga gol, Muhammad Umir Asyraf Zainon.
Pahang Rangers menambah jaringan ketiga pada minit ke-14 apabila Harith Naim Mohd Nasir mudah menolak masuk bola hantaran lintang Amin Nasrollah yang cukup lincah melepasi kawalan pemain Kedah.
Kedah berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-18 menerusi Muhammad Syarifuddin Md Akhir untuk kedudukan 3-1 memihak tuan rumah pada separuh masa pertama.
Perlawanan bersambung menyaksikan pemain Pahang Rangers terus garang dengan menambah lima lagi jaringan menerusi Amin Nasrollah (dua gol), Farhan Khairul Anuar (dua gol) dan Alif Mat Amin manakala Kedah mendapatkan jaringan kedua pada lewat permainan menerusi Ahmad Syakir Johari.
Penyudah berkualiti tinggi dimiliki para pemain Pahang Rangers menjadikan kelab tersebut sebagai pasukan yang paling banyak menjaringkan gol setakat tiga perlawanan liga iaitu dengan 24 gol.
Sebelum ini mereka menundukkan Sabah 9-1 di laman sendiri dan kemudiannya membelasah KPT-PST Mustangs 7-1 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.