Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mempamerkan kebangkitan untuk mencatatkan kemenangan 8-3 ke atas Selangor TOT United pada aksi separuh akhir kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL)2023 yang berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang, malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan dengan agregat 15-8 itu sekali gus mengesahkan ‘final impian’ JDT menentang Pahang Rangers, pada hujung minggu ini.

Anak buah Juan Manuel Garcia itu bagaimanapun tersentak seawal 15 saat permainan selepas sepakan kedalam Helio Neto membias terkena pemain JDT lalu menggegarkan gawang dikawal Azrul Hadee Mohd Taufik.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, JDT memperkemaskan aksi untuk menekan pasukan pelawat dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit kesembilan menerusi Abu Haniffa Hassan.

Sedar hanya jaringan dapat meningkatkan moral pemain, Selangor TOT United berupaya menambah dua gol pada minit ke-19 dan 20 hasil sumbangan Wan Abdul Raziq Wan Zulhasmi dan Yazid Kamaruzuan lalu menyamakan kedudukan agregat 8-8.

Separuh masa kedua jelas memperlihatkan JDT sukar digugat apabila tekanan diberikan ketika Selangor TOT United menggunakan taktikal ‘Power Play’ nyata membuahkan hasil.

Bermula daripada satu serangan balas pantas, Caio Cesar tidak mensia-siakan peluang dihadapan pintu gol Selangor TOT United bagi membolehkan JDT merapatkan jurang pada minit ke-22.

Dua minit kemudian, Ekmal Shahrin mengambil kesempatan atas kesilapan ‘Power Play’ pasukan lawan untuk kembali menyamakan kedudukan 3-3.

Abu Haniffa menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-29 setelah beliau tidak dikawal ketika situasi sepakan percuma untuk memberikan kelebihan buat tuan rumah.

Ekmal Shahrin kemudiannya merampas bola di kaki Wan Raziq pada minit ke-35 bagi menambah jaringan keenam buat skuad JDT.

Tidak cukup dengan itu, Abu Haniffa menyempurnakan sepakan penalti ‘second spot’ sekali gus melengkapkan hatrik buatnya dan Fakrul Islam Anizam menutup pesta jaringan JDT pada lewat permainan.