Pengendali AS Roma, Jose Mourinho akui sangat kecewa apabila pasukannya tewas 1-4 menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir Liga Europa menentang Sevilla awal pagi tadi.

Baca Juga:

Malah, beliau juga enggan menerima pingat perak sebagai naib juara lalu menghadiahkannya kepada seorang peminat muda di kawasan tempat duduk penonton.

Sevilla meneruskan rentak cemerlang yang menyaksikan kelab Sepanyol itu tidak pernah tewas dalam tujuh penampilan mereka di pentas final.

Kekalahan itu juga bermakna Roma gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan dan menimbulkan persoalan sama ada pengendali berusia 60 tahun itu akan kekal di ibu negara Itali itu selepas dikaitkan dengan Paris St Germain (PSG).

“Saya perlu berjuang untuk pemain oleh itu saya tidak boleh mengatakan bahawa saya akan kekal,” kata Mourinho.

“Saya bercakap dengan kelab pada Disember apabila saya mendapat tawaran daripada pasukan kebangsaan Portugal.

“Saya tidak berhubung dengan orang lain sejak itu. Saya mempunyai baki setahun dalam kontrak saya dan inilah keadaannya.”

Ia adalah kekalahan pertama Mourinho dalam perlawanan akhir Eropah, tetapi berkata beliau berbangga dengan prestasi pasukannya dan mengakui bahawa musim ini tidak seperti yang diharapkan.

“Kami letih dari segi fizikal dan mental kerana kami percaya ia adalah kekalahan yang tidak adil sebab banyak insiden yang boleh dipertikaikan.

“Kami sangat letih tetapi tetap berbangga. Saya sentiasa berkata, kamu boleh tewas dalam perlawanan tetapi jangan sesekali maruah atau profesionalisme.

“Saya tewas kali ini tetapi saya pulang dengan lebih rasa bangga pada kali ini. Pemain memberikan segala-galanya pada musim ini,” katanya.

Mourinho turut mengkritik pengadil Anthony Taylor yang banyak melayangkan kad kuning dalam perlawanan.