Malaysian Football League (MFL) semalam telah mengumumkan  perubahan jadual saingan Liga Super 2023 melibatkan perlawanan antara Terengganu FC dan Sri Pahang FC serta Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan United FC.

Menurut kenyataan rasmi, perubahan jadual ini dilakukan berikutan permohonan dan persetujuan kelab-kelab terbabit kepada MFL, panggilan skuad bawah 23 tahun ke Sukan SEA Kemboja serta keperluan produksi dan penyiaran.

“Perlawanan Terengganu menentang Sri Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang dijadual berlangsung pada 26 April 2023 dipinda pada 28 April 2023 jam 9.00 malam.

“Manakala perlawanan JDT dengan Kelantan United di Stadium Sultan Ibrahim pula ditukar pada 13 Mei 2023 jam 8.15 malam berbanding jadual asal pada 26 April 2023,” kata kenyataan rasmi.

Ia bermakna jadual perlawanan lain yang ditetapkan pada 27 dan 28 April diteruskan seperti biasa selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada hari sabtu ini, 22 April.

Biarpun acara bola sepak Sukan SEA 2023 di Kemboja yang melibatkan skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) berlangsung pada 3 Mei hingga 16 Mei, namun Selangor tidak mempunyai masalah untuk melepaskan pemain muda mereka.

Pemain daripada pasukan Selangor merupakan terbanyak yang dipilih mewakili negara di Sukan SEA.

“Sukan SEA tahun ini tidak berselisih dengan jadual liga jadi kita tidak nampak sebab untuk tidak beri peluang kepada pemain untuk pergi.

“Kita juga menyokong dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyumbang terhadap agenda pasukan kebangsaan. Kita sendiri rasa bangga apabila pemain Selangor dapat mewakili negara untuk kejohanan di luar negara.

“Saya rasa ini adalah satu pendedahan yang baik kerana rata-rata pemain kami ramai yang muda, jadi kita lihat ini sebagai peluang untuk mereka mendapatkan pengalaman tambahan,” kata CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon kepada Harimau Malaya.