Baru-baru ini, ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap isu perkauman yang melanda pasukannya sehingga menganggu fokus pemainnya di atas padang.
Isu berkenaan berlaku ketika Selangor menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari sabtu lepas sehingga mengundang kemarahan bekas jurulatih Felda United itu.
Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesa setiap pasukan Liga Malaysia membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar mereka diserang provokasi yang melampau termasuk komen berbaur penghinaan di media sosial.
“Jika diikutkan negara kita tidaklah serius berkaitan rasis namun di peringkat MFL akan teliti perkara ini walaupun tidak mendapat sebarang laporan rasmi daripada pihak berkaitan.
“Malah, di peringkat FAM sendiri ada membincangkan perkara berkaitan dan turut memandang serius apa yang diperkatakan oleh pengendali Selangor B Sathiananthan,” katanya dalam Arena Metro.
Isu perkauman sememangnya menjadi penyakit kronik yang masih menghantui sukan bola sepak sehingga ke hari ini. Masalah ini terjadi hampir di setiap negara dan ianya sedikit-sebanyak merencatkan keindahan sukan paling diminati di atas muka bumi ini.
Pemain import Pulau Pinang, Ndumba Makeche sebelum ini pernah menghadapi hinaan berbaur perkauman ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Beliau membuat penampilan pertama pada perlawanan menentang Selangor United setelah pulih daripada kecederaan.
Malah, pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh turut berdepan masalah sama sejak beliau memulakan karier profesional di Malaysia.
“Saya telah dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti Nigga, Hitam dan Motherfucker. Malah saya mempunyai video segelintir peminat yang melontarkan kata-kata kesat itu,” katanya.
Baca artikel mengenai luahan Satiananthan tentang isu perkauman yang melanda pasukannya.