Lionel Messi dilaporkan akan menyertai kelab MLS Inter Miami apabila kontraknya tamat dengan Paris Saint-Germain pada penghujung musim ini.

Baca Juga:

Messi, 35, meninggalkan Barcelona pada 2020 untuk menandatangani perjanjian dua tahun di Parc des Princes. Masa depannya dengan kelab Perancis itu mulai menjadi tanda tanya.

PSG sebelum ini sudah mengesahkan mereka menawarkan kontrak baharu buat Messi. Namun sehingga ke hari ini Messi masih tidak menandatangani apa apa lanjutan.

Selepas musim debut yang sukar dalam bola sepak Perancis, di mana dia hanya berjaya menjaringkan enam gol Ligue 1, Messi telah menemui semula prestasinya.

Walaupun tidak tersenarai dalam 30 calon akhir Ballon d’Or, namun pemenang 7 kali anugerah itu kelihatan berada dalam landasan terbaik untuk mencabar anugerah kelapan peribadinya.

Lionel Messi telah berjaya menjaringkan 12 gol dan 13 bantuan gol dalam 17 penampilan untuk PSG musim ini dalam semua pertandingan.

Dengan pemain antarabangsa Argentina itu kini memasuki tahun terakhir perjanjiannya dengan PSG, spekulasi terus berkembang sama ada dia akan memilih untuk melanjutkan tempohnya di Paris St Germain, atau kembali ke Barcelona atau berpindah ke tempat lain.

Laporan terbaru menyebut bahawa, Messi akan menyertai Inter Miami.

Beberapa tahun lalu, Messi pernah menyatakan bahawa dia mahu bermain di Amerika dan merasai pengalaman tinggal di sana.

The Athletic mendakwa bahawa francais MLS, yang dimiliki bersama oleh David Beckham dan diuruskan oleh Phil Neville, semakin yakin untuk menandatangani Messi selepas mengadakan perbincangan dengan bintang Argentina itu selama beberapa tahun.

“Jorge dan Jose Mas — adik-beradik yang memiliki bersama Inter Miami bersama Beckham — mengetuai rundingan dan banyak pertemuan telah berlangsung dengan bapa bintang itu, Jorge,” lapor David Ornstein dari The Athletic.

Messi dan wakilnya dijangka tidak mengadakan sebarang rundingan kontrak lagi sehingga selepas Piala Dunia akan datang di Qatar, yang akan berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember.

Mulai Januari, Messi akan memasuki enam bulan terakhir perjanjian semasanya dengan PSG dan boleh menandatangani perjanjian pra-kontrak dengan kelab asing, seperti Inter Miami.

Sekiranya Inter Miami melakukan perpindahan mengejut untuk Messi, ia pastinya akan menjadi pemain berprofil tertinggi dalam sejarah MLS – mengatasi perpindahan Beckham sendiri ke Amerika Syarikat bersama LA Galaxy pada 2007.

Bandar Miami dikatakan sebagai “sumber tarikan untuk keluarga Messi” yang sudah memiliki hartanah di bandar itu.

Sementara itu, Miami juga mempunyai hubungan komuniti yang kuat dengan Amerika Selatan, satu lagi tarikan yang mungkin untuk bintang PSG itu.

Satu lagi faktor menarik bagi semua pihak, ialah potensi kesan Messi terhadap bola sepak di Amerika Syarikat menjelang Piala Dunia 2026.

Kejohanan itu akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, bersama-sama jirannya Kanada dan Mexico.