Awal pagi tadi menyaksikan Newcastle United telah menamatkan penantian 20 tahun untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim hadapan.

Baca Juga:

Kedudukan seri tanpa jaringan bertemu pasukan di zon penyingkiran, Leicester City itu sudah cukup untuk membawa The Toon Army ke pentas paling berprestij di Eropah tersebut dengan 70 mata yang berjaya diraih ketika aksi berbaki satu perlawanan lagi.

Kejayaan bermakna dilakarkan di St James’ Park itu sekali gus turut mengimbau kenangan Newcastle United yang bangkit dengan penuh bergaya pada pembabitan terakhir mereka dalam kempen UCL 2002/03.

Newcastle yang pada ketika itu diketuai oleh penyerang prolifik, Alan Shearer mendapat peluang keemasan tersebut selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2001/02 di tempat keempat.

Sebelum merasai saingan sebenar, skuad yang ketika itu dibimbing mendiang Sir Bobby Robson melepasi cabaran di pusingan kelayakan ketiga selepas menundukkan wakil Bosnia, FK Željezničar Sarajevo 5-0 secara agregat.

Tiga aksi awal yang mengecewakan

Beraksi di pentas Eropah bukanlah semudah yang disangka. Hal ini terbukti setelah Newcastle United mengalami kekalahan pada tiga perlawanan awal.

Hal ini kerana mereka telah diundi bersama-sama dengan gergasi Itali iaitu Juventus, Feyenoord dan Dynamo Kiev.

Lebih parah buat Newcastle United apabila kelab tersebut gagal menjaringkan sebarang gol pada tiga perlawanan tersebut.

Mereka tewas 0-2 di Kiev pada aksi pembukaan dan kemudiannya 0-1 ketika menentang Juventus dan 0-2 sewaktu bertemu Feyenoord.

Kebangkitan hebat dipamerkan 

Ketika segalanya tampak cukup sukar buat Newcastle untuk mara lebih jauh tetapi kejutan menumpaskan Juventus 1-0 di laman sendiri telah menjadi titik tolak kebangkitan buat kelab tersebut.

Pemain pertahanan, Andy Griffin muncul wira selepas jaringan tunggal dihasilkannya pada minit ke-62 sekali gus telah menghidupkan kembali sisa perjuangan Newcastle United.

Berselang enam hari kemudian di gelanggang yang sama, penyokong Newcastle United terus melonjak kegembiraan hasil kemenangan 2-1 bertemu Dynamo Kiev.

Tersentak dengan jaringan pendahuluan pasukan pelawat menerusi Maksim Shatskikh ketika perlawanan babak kedua baru berusia dua minit, Newcastle United kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-58 hasil jaringan mendiang Gary Speed.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Jaringan penalti Alan Shearer di minit ke-69 mengesahkan kemenangan kedua Newcastle United.

Aksi terakhir peringkat kumpulan pada 13 November itu jelas merupakan ‘misi hidup mati’ buat Shearer dan rakan sepasukannya di mana Newcastle berdepan Feyenoord di De Kuip Stadium dan Dynamo Kiev menanti kunjungan Juventus.

Juventus sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya manakala Newcastle wajib mencatatkan kemenangan dan mengharapkan Dynamo Kiev tewas untuk mengiringi wakil Itali itu.

Segalanya seperti berada di landasan yang tepat buat Newcastle apabila mendahului Feyenoord 2-0 menerusi jaringan Craig Bellamy dan Hugo Viana.

Mariano Bombarda dan Anthony Petrus Lurling memadam kelebihan dua jaringan tersebut pada minit ke-65 dan 71.

Ketika Juventus sedang mendahului Dynamo Kiev 2-1, Bellamy melengkapkan malam gemilang buat The Magpies apabila beliau menolak masuk bola susulan percubaan awal diledakkan Kieran Dyer berjaya ditepis penjaga gol, Patrick Lodewijks untuk kemenangan 3-2 memihak Newcastle.

Kejayaan bermakna itu sekaligus membawa Newcastle United ke pusingan kedua peringkat kumpulan (format lama) Liga Juara-Juara Eropah.

Ia turut menjadikan Newcastle satu-satunya pasukan yang tewas pada ketiga-tiga perlawanan awal tetapi masih mampu layak ke pusingan seterusnya.

Selepas 20 tahun, Newcastle kembali

Pada pusingan kedua, Newcastle berada satu kumpulan dengan Barcelona, Inter Milan dan Borussia Dortmund.

Mereka bagaimanapun gagal meneruskan kemaraan ke saingan kalah mati selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dengan tujuh mata.

Pencapaian ini mungkin tidaklah begitu membanggakan bagi pasukan gergasi Eropah lain tetapi apa yang telah dilakukan Newcastle United pada musim 2002/03 pasti akan menjadi antara kenangan indah di minda dalam kalangan The Toon Army.

Lebih manis, pencapaian itu akan cuba diperbaiki oleh barisan pemain Newcasle United pada musim hadapan selepas mereka mengesahkan kembali tempat untuk beraksi dalam saingan UCL 2023/24.

Dengan skuad lebih berkualiti dimiliki pada ketika ini bersandarkan juga kepada sumber kewangan lebih lumayan, Newcastle pasti akan memperkuatkan segenap posisi pasukan tersebut dengan nama besar.

Sehubungan dengan itu tidak mustahil mereka akan mampu melangkah lebih meyakinkan pada musim hadapan untuk melakar kisah indah dalam kancah Eropah yang didambakan penyokong setia Newcastle United.