Melaka United mempunyai sasaran baru bagi mengisi kuota pemain import mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini apabila dilaporkan berminat untuk mengambil seorang penyerang dari Montenegro.
Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain yang dimaksudkan ialah Stefan Nikolic, penyerang yang pernah beraksi bersama skuad B-21 tahun Montenegro.
Penyerang dari Montenegro Stefan Nikolic jadi pilihan terbaru Melaka United FC selepas perbincangan untuk bawa pulang Marko Simic gagal capai persetujuan tatkala mereka juga terpaksa melupakan khidmat Ivan Lendric ekoran masalah pelepasan.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 4, 2021
Sebelum ini, Melaka mahu mendapatkan khidmat penyerang dari Croatia, Ivan Lendric namun hasrat tersebut terpaksa dilupakan setelah Lendric tidak mendapat pelepasan dari kelab beliau.
Melaka kemudiannya mahu menandatangani bekas pemain, Marko Simic secara pinjaman dari kelab Indonesia, Persija Jakarta namun gagal mencapai kata putus.
Stefan Nikolic merupakan penyerang berusia 30 tahun dan setakat ini, beliau telah beraksi bersama 16 kelab seperti dari Serbia, Montenegro, Korea Selatan dan Albania.
Kelab terakhir Nikolic ialah FK Krupa, pasukan yang beraksi dalam saingan divisyen pertama liga bola sepak Bosnia.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
RASMI: Pemain Naturalisasi Malaysia, Liridon Krasniqi Sah Sertai Newcastle Jets
AFC: Penundaan Perlawanan Kelayakan Berdasarkan Keadaan Semasa