Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super Turki, Trabzonspor.
Baca Juga:
- Peminat Sabah Meninggal Dunia Ketika Aksi Menentang JDT
- TMJ Sahkan Leandro Velazquez Masih Berstatus Pemain JDT
- FAM Tolak Rayuan JDT Kurangkan Denda Pembakaran Suar
Perkara ini dilaporkan oleh salah sebuah media sukan Turki, turkiyegazetesi yang menyatakan bahawa pemain berusia 31 tahun itu akan berada di Turki dalam tempoh seminggu bagi menandatangani kontrak bersama kelab tersebut.
Dalam laporan tersebut, media itu juga menyatakan bahawa jurulatih Trabzonspor iaitu Nenad Bjelica sendiri yang menginginkan khidmat Jordi Amat bagi memperbaiki benteng pertahanan dalam pasukannya bagi menghadapi saingan musim ini.
Setakat ini, Jordi telah membantu JDT memenangi beberapa kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sejak menyertai pasukan itu dari kelab Belgium, K.A.S Eupen.
Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Jordi turut meyakinkan pengendali JDT, Esteban Solari untuk melantik pemain itu sebagai ketua pasukan selain menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama. Selain itu, Jordi turut dilantik sebagai ketua pasukan skuad kebangsaan Indonesia.
Untuk rekod, pemain campuran Indonesia-Sepanyol itu sebelum ini mempunyai pengalaman beraksi bersama beberapa kelab terkenal Eropah seperti RCD Espanyol, Rayo Vallecano, Swansea City, Real Betis dan K.A.S Eupen.
Sebelum ini, terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan seorang lagi pemain JDT, Leandro Velazquezbakal meninggalkan pasukan itu selepas pemain tengah dari Jepun, Takahiro Kunimoto dikatakan bakal dibawa masuk oleh JDT.
Namun pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengesahkan salah seorang pemainnya, Leandro Velazquez masih lagi berstatus pemain kelab itu.