Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah menjemput negara dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia untuk tahun 2034.

Baca Juga:

Setakat ini, hanya Arab Saudi mengumumkan secara rasmi mengenai rancangan mereka untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034 sebagai langkah menjadikan negara itu kuasa sukan dunia.

Bagaimanapun, sebuah portal akhbar dari Australia, The Sydney Morning Herald berpendapat Malaysia layak jadi tuan rumah Piala Dunia 2034 bersama Singapura serta negara tersebut.

Australia menyatakan minat untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 namun mereka memerlukan negara terdekat sekitar Asia untuk berganding bahu sebagai tuan rumah bersama.

Pada tahun 2019, wakil daripada negara ASEAN telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai tanda 10 anggota dari negara Asia Tenggara bersetuju untuk membida hak sebagai tuan rumah bagi penganjuran Piala Dunia pada tahun 2034.

Pada ketika itu juga Football Australia (FFA) telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengenai potensi menjadi tuan rumah bersama untuk Piala Dunia 2034.

Namun begitu, penulis portal akhbar tersebut menyifatkan kerjasama dengan Indonesia sangat berisiko berdasarkan insiden rusuhan besar-besaran di Stadium Kanjuruhan sehingga menyebabkan kematian lebih 100 orang pada tahun lepas.

Malah, pembatalan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun akibat campur tangan politik turut menyumbang kepada risiko tersebut.

Justeru itu, Malaysia dan Singapura dilihat sebagai calon yang sesuai untuk menjadi tuan rumah kerana faktor keamanan dan mempunyai fasiliti sukan yang baik.

Selain itu, beliau turut menyenaraikan beberapa stadium di Malaysia yang berpotensi anjur perlawanan Piala Dunia kerana telah melepasi syarat minimum kapasiti venue yang ditetapkan oleh FIFA iaitu 40,000.

Antara stadium yang dilihat sesuai jadi venue Piala Dunia ialah Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Shah Alam yang baharu, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Perak.

Tambahan pula, SNBJ dan SSI kini telah menukar padang kepada rumput jenis Zeon Zoysia untuk membolehkan perlawanan peringkat antarabangsa berlangsung di venue berkenaan.

Penulis tersebut juga berpendapat, jika Malaysia mengambil bahagian untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034, ia akan memberi keyakinan kepada Australia, New Zealand dan Singapura untuk membentuk tuan rumah bersama berdasarkan hubungan baik dengan pemimpin kerajaan, keamanan serta kemudahan fasiliti sukan.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah bersama Piala Asia 2007 dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia.