Pemain pertahanan import Johor Darul Ta’zim (JDT), Mauricio Nascimento mendedahkan realiti sebenar apabila beliau beraksi bersama juara bertahan Liga Super itu kepada wartawan Rusia saat menjalani sesi latihan pra musim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Mauricio, bekerja di JDT nyata mempunyai tekanan yang tersendiri namun beliau melihat perkara itu sebagai satu hal yang baik bagi kariernya serta pemain lain dalam pasukan.

Mauricio
Sumber Gambar: JST

“Saya berasa seperti di tempat sendiri, dan saya sangat gembira apabila takdir membawa saya ke kelab ini. Kelab kami ini sangat istimewa.

“Boss (DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sentiasa memberi motivasi kepada pasukan untuk memenangi setiap perlawanan dan sentiasa menjadi yang pertama. Baginda mencipta keadaan yang selesa buat semua pemain dalam segala-galanya seperti hidup, latihan dan perlawanan. Atas sebab ini, kami perlu membalas jasa Baginda dengan beraksi cemerlang. Ini adalah asas kepada bola sepak.

“Pada 2020, Baginda telah menyewa kereta berprestasi tinggi untuk kami pemain seperti Ferrari, Lamborghini dan jenama-jenama yang lain. Kami memandunya ke latihan dan perlawanan. Bagi saya, ianya seperti setiap impian kanak-kanak. Dalam masa yang sama, tiada seorang pun yang lupa tujuan kami ke Dubai adalah untuk bersedia bagi menghadapi musim baharu iaitu objektif utama kami.”

“Tanggungjawab kami sangat besar. Tetapi sejujurnya, saya suka tekanan seperti ini. Anda tidak boleh membenarkan diri anda untuk berehat walau sesaat. Anda sentiasa diminta untuk mempunyai permainan yang lebih baik, keputusan yang lebih baik dan semestinya, trofi,” katanya.

Mauricio menyertai JDT pada musim 2019 dan sebelumnya beliau pernah beraksi bersama beberapa kelab antaranya kelab Serie A, Lazio sebelum dipinjamkan ke Spartak Moscow pada tahun 2016.

Dalam siri jelajah JDT di UAE, mereka berjaya memperoleh 1 kemenangan, 3 seri dan 1 kekalahan dan menamatkan siri jelajah kali ini dengan keputusan seri menentang bekas kelab Mauricio iaitu Spartak Moscow.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

JDT Buktikan Mampu Bersaing Dengan Kelab Eropah

Zainal Abidin Hassan Jadi Pilihan Untuk Jawatan Pembantu Jurulatih Skuad Kebangsaan

Selangor Lancar Jersi ‘Away’ Musim 2022 Sempena Solidariti Bersama Pesakit Kanser Di Dunia