Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies berazam ingin mencipta impak bersama pasukan yang baru disertainya musim ini sekaligus menambat hati penyokong seperti mana yang telah dilakukannya bersama Pahang selama lima musim.
Nama Davies sudah sinonim dengan skuad Tok Gajah selaku kapten pasukan sejak dia mula menyertai pasukan itu pada tahun 2015 dan pernah merangkul trofi Shopee Piala FA pada tahun 2018.
Pemain berusia 25 tahun itu berharap untuk rasa dihargai oleh penyokong setia JDT selain mencipta sejarah baharu bersama skuad Harimau Selatan.
Tetapi, dia sedar ia bukanlah tugas yang mudah apatah lagi persaingan sengit sering berlaku dalam skuad untuk merebut kesebelasan utama.
“Kita semua tahu penyokong hadir ke stadium bukan percuma dan mereka bayar tiket untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi pada setiap minggu.
“Untuk saya, sebagai pemain, kita kena memenangi hati penyokong yang hadir ini dengan menampilkan prestasi yang memuaskan selain usaha dan kerja keras di atas padang.
“Dan saya harap, saya dapat melakukan perkara itu bersama pasukan JDT pula untuk tidak menghampakan harapan penyokong sebagaimana yang telah saya lakukan selama lima tahun bersama Pahang sebelum ini,” jelasnya.
Selain itu, Davies turut melihat dengan adanya lebih ramai pemain kebangsaan dalam skuad JDT akan membuahkan hasil positif untuk skuad Harimau Malaya termasuklah kehadirian pemain naturalisasi kedua, Liridon Krasniqi dalam pasukan itu pada musim ini.
“Saya setuju untuk katakan lagi ramai pemain kebangsaan yang ada dalam pasukan ini, lagi bertambah baik untuk skuad kebangsaan.
“Saya rasa ia akan memberi kesan positif untuk meningkatkan tahap keserasian antara kami dan seterusnya mencurahkan tenaga untuk Harimau Malaya pula.
“Ditambah pula dengan beberapa pemain berlainan posisi daripada kelab lain juga akan mencipta kombinasi yang lebih mantap untuk membantu pasukan kebangsaan ini,”katanya.
Baca artikel lain mengenai Matthew Davies di sini: