Skuad Pahang Rangers terus giat meningkatkan kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 apabila baharu sahaja merekrut pemain dari Brazil, Matheus Augusto de Oliveira Gonzalez.

Baca Juga:

Kehadiran pemain kelahiran Sao Paulo yang mampu beraksi di posisi Ala dan Pivot itu disahkan oleh laman Facebook rasmi Pahang Rangers, semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu membawa reputasi baik sebelum didatangkan ke Pahang Rangers apabila beliau pernah bersama ABELC Futsal – Boa Vista do Buricá yang beraksi dalam Serie B bagi saingan liga negeri di sana.

Bersama ABELBC Futsal, Matheus berjaya membantu kelab tersebut muncul naib juara saingan liga musim lalu dan Piala Farroupilha 2022 bersama CA Guarany Espumoso.

Kredit Foto: Pahang Rangers FC

Meskipun tidak pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Brazil dan kelab liga utama di sana, kemampuan Matheus tidak boleh dipandang rendah kerana beliau mempunyai kemahiran individu yang cukup baik serta ledakan padunya mampu memberikan masalah kepada pasukan lawan.

Keadaan itu pantas dijelmakan oleh Matheus Gonzalez apabila beliau berjaya meledakkan dua gol pada aksi persabahatan [masing-masing satu gol ketika bertemu ATM dan KL City].

Meskipun Pahang Rangers hilang dua tonggak utama yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad kendalian Gerard Casas Ullastre itu masih memiliki tonggak berkualiti.

Ridzwan Bakri, Saiful Nizam Mohd Ali, Muhammad Farhan Khairul Anuar, Mohamad Sufri Shamil, Mahadir Harahap Khairudin dan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir mampu diharapkan untuk menamatkan penantian bagi menjulang trofi MPFL selepas dua musim berturut-turut bergelar naib juara.