Masjid Sultan Idris Shah ii telah mengambil inisiatif baik bersempena aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Perak dan Sabah yang akan berlangsung pada Isnin depan.

Hal ini kerana Masjid Negeri Perak itu bakal menganjurkan program Street Dakwah dan Jom Solat Berjemaah bersama Penyokong Perak FC pada hari perlawanan tersebut.

Difahamkan turut melibatkan kerjasama Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC), program ini akan diadakan di Surau Kompleks Belia dan Sukan yang berada di sebelah Stadium Perak, Ipoh.

Antara aturcara program yang boleh disertai para penyokong Perak dan Sabah ialah tazkirah khas bermula 6.30 petang dan kemudiannya diikuti solat Maghrib serta doa khas manakala diakhiri dengan solat Isyak.

Inisiatif baik diambil oleh pihak Masjid Negeri Perak dan Perak FC ini nyata wajar dipuji bagi membolehkan penyokong kedua-dua pasukan mendapat manfaat agar seimbang dalam apa juga perkara termasuk dalam menimba ilmu agama, tuntutan solat berjemaah serta menyokong pasukan kesayangan mereka.

Penyokong Perak juga pada ketika ini berada dalam mood terbaik untuk memberikan sokongan padu buat pasukan selepas skuad kendalian Yusri Che Lah itu berjaya mengikat Sabah 2-2 di Likas tempoh hari.

Meskipun perlawanan diadakan pada hari Isnin, ia dilihat tidak akan merentap semangat penyokong skuad Yob itu untuk beramai-ramai memenuhi ruang di Stadium Perak.