Setiap tahun saingan Liga Malaysia sentiasa diwarnai dengan pemain muda yang menampilkan prestasi cemerlang sekaligus menjadi tunjang utama bagi kelab yang bersaing di dalam divisyen utama liga bola sepak negara ini.
Baca Juga:
- Piala Malaysia 2023: Dua Jaringan Ivan Mamut Bawa Terengganu Ke Final
- Video Liridon Krasniqi Jatuh Dari ‘Stretcher’ Jadi Sorotan Media Antarabangsa
- Piala Malaysia 2023: Liridon Krasniqi Harapan Terengganu Mara Ke Final
Kali ini, kami mahu membahas mengenai salah seorang pemain pertahanan Terengganu iaitu Ubaidullah Shamsul yang setakat ini menjadi antara pemain pertahanan muda terbaik dalam negara.
Menurut pembantu kepada Tomislav Steinbrückner dalam staf kejurulatihan pasukan iaitu Ivica Vranješ, Ubaidullah atau yang mesra dipanggil Ubai menampilkan prestasi yang cukup memberangsangkan khususnya dalam saingan Piala Malaysia yang mana Terengganu baru-baru ini mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir.
Menurut Ivica, Ubai memiliki pakej yang cukup lengkap sebagai pemain pertahanan tengah dimana pada usia 20 tahun, pemain ini menunjukkan beliau merupakan seorang pemain yang matang dan sedia untuk memberikan cabaran kepada rakan sepasukan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Berusia 20 tahun. Memilik kekuatan, kawalan, kemampuan teknikal dan yang paling penting sentiasa mempunyai motivasi tinggi. Satu bakat yang cukup baik untuk bola sepak Malaysia. Tak perlu tunggu sehingga umur 30 tahun untuk melihat perkembangan beliau.
“Pemain ini merupakan Josko Gvardiol versi Malaysia. Maju terus Ubai!” kata Ivica.
Berkat kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia, Ubai pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad B-23 Tahun negara yang sebelum ini dikendalikan oleh E.Elavarasan.
Baru-baru ini, ketua jurulatih skuad senior negara, Kim Pan-gon meletakkan Ubai dalam senarai menunggu bagi menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Jumaat, 10 November 2023 bagi menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 dan Chinese Taipei pada 21 November 2023.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Chinese Taipei di tempat lawan pada Selasa, 21 November 2023.
Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Oman bertemu Chinese Taipei di Muscat pada 16 November 2023 dan Republik Kyrgyz menanti kunjungan Oman di Bishkek pada 21 November 2023.