Kegagalan peminat setia skuad Harimau Selatan untuk mendapatkan tiket perlawanan Piala Sumbangsih 2023 antara JDT menentang Terengganu akhirnya terjawab apabila operator jualan iaitu Ticket Hotline dilaporkan mempunyai masalah server.

Menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers, server Ticket Hotline telah mengalami masalah akibat daripada respon yang menggalakkan daripada para peminat menjelang aksi di Stadium Sultan Ibrahim esok.

“Kami telah dimaklumkan oleh Ticket Hotline bahawa mereka sedang cuba untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda server mereka sejak semalam.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ingin menjelaskan bahawa TicketHotline yang menyediakan perkhidmatan penjualan tiket untuk perlawanan ini. Mereka merupakan syarikat rasmi Malaysia Football League (MFL) untuk penjualan tiket bagi semua perlawanan.

“Kami berterima kasih kepada penyokong yang berjaya mendapatkan tiket dan kami juga kesal kerana masih ada penyokong yang mengalami kesukaran untuk membeli tiket. Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera,” kata kenyataan rasmi.

Difahamkan setiap penyokong hanya boleh membeli empat tiket sahaja manakala para pemegang pas bermusim hanya perlu menunjukkan pas anda di pintu-pintu masuk untuk kemasukan ke stadium.

Tiket tersebut dijual secara dalam talian menerusi laman web jdtfc.com.my sejak pukul 2 petang semalam.

Lebih menarik, para penyokong juga berpeluang memilih tempat duduk masing-masing di Stadium Sultan Ibrahim dan ia merupakan yang pertama diperkenalkan oleh JDT dalam Liga Malaysia.

Bagaimanapun, segelintir penyokong gagal mendapatkan tiket tersebut disebabkan oleh masalah yang wujud di laman web tersebut seperti akses pembayaran dan penerimaan email pengesahan.

Situasi itu menyebabkan keseluruhan komen di media sosial JDT dipenuhi oleh aduan tidak puas hati oleh para penyokong harimau selatan mengenai sistem jualan tiket tersebut.

Malah, mereka juga menuntut sistem jualan kembali seperti musim lalu untuk urusan pembelian yang lebih mudah.