Belgium membuktikan bahawa, walaupun anda hadir dengan status pasukan nombor 1 dunia dan memiliki ramai pemain penyerang berbakat, itu bukan bermnakna anda boleh hilang disiplin bertahan.

Menggandingkan 3 bek tengah yang usia mereka 101 tahun kalau dicampur, mereka berjaya berjaya bertahan dengan baik berhadapan dengan beberapa siri ancaman daripada Portugal.

Ramai yang agak risau dengan pertahanan Belgium terutama sekali dengan adanya pemain veteran yang selalu cedera, Thomas Vermaelen yang berusia 35 tahun berhadapan dengan pemburu rekod – Cristiano Ronaldo.

Namun bek bertiga Belgium berjaya mengatasi kesemua usaha serangan Portugal.

Ketumpulan Portugal dan kebergantungan kepada Ronaldo

Portugal berdepan dengan isu ketumpulan di hadapan gol sekali lagi. Dalam aksi berhadapan dengan Perancis sebelum ini, mereka menjaringkan 2 gol daripada penalti – bukan permainan terbuka.

Dengan pemain pemain yang gah di peringkat kelab seperti Bruno Fernandes, Diogo Jota, Joao Felix, dan Bernardo Silva, Portugal masih terlalu bergantung kepada Cristiano Ronaldo yang berusia 36 tahun di barisan hadapan serangan mereka.

Portugal menjadi pasukan pertama dalam Euro kali ini melakukan 23 percubaan tapi tanpa sebarang gol.

Pendekatan mengejutkan namun berjaya

Pendekatan Belgium pula agak mengejutkan. Selepas gol pertama Thorgan Hazard mereka memilih untuk mempertahankan gol itu dan cuba menyerang balas Portugal.

Pastinya ia pendekatan yang bukan digemari penyokong kerana bakat serangan yang ada pada mereka.

Tetapi Roberto Martinez harus mengakui bahawa, sepanjang separuh masa pertama, mereka tidak dapat memecahkan blok paling rendah Portugal.

Mujur selepas itu mereka mendapat gol dengan kegeniusan peribadi Thorgan Hazard yang melakukan knuckle shot dari luar kotak penalti.

Romelu Lukaku baru sahaja bermain aksi Euro yang paling ‘kurang kerja’ pada kali ini. Pemain yang menggelarkan dirinya ‘bertaraf dunia’ sebelum sepak mula itu gagal mendapat servis lebih baik daripada bahagian belakang.

Martinez: Tayangkan perlawanan ini di akademi

Keupayaan Belgium mempertahankan 1 gol dengan 3 bek yang berusia atas 30 tahun serta dua wingback yang sangat ofensif boleh dikatakan satu kejayaan.

Roberto Martinez menganggap kemenangan ini sebagai satu kejayaan komitmen pasukannya bertahan secara berpasukan selepas bertahun tahun mereka bermain bersama.

“Apa yang kamu saksikan hari ini adalah komitmen selama bertahun tahun para pemain, memberikan segalanya dan komitmen tinggi di atas padang bersama Red Devils.”

“Bakat yang mereka ada membuatkan mereka mampu menjadikan pertahanan itu satu seni. Perlawanan ini harus ditunjukkan di akademi akademi bola sepak di Belgium, bagaimana cara bertahan.”

https://twitter.com/PatrickTimmons1/status/1409257882307153926

Selain daripada 3 pertahanan veteran itu, di hadapan mereka ada Axel Witsel dan Youri Tielemans yang melakukan tugasan screening serta shielding yang sangat bagus. Dan dua bek sayap mereka, Thorgan Hazard dan Thomas Meunier sentiasa turun naik dan mengelak daripada dimanipulasi pemain sayap lawan untuk gol.