Pemain sayap negara, Safawi Rasid menghadiahkan gol yang dijaringkan ke gawang Solomon Islands kepada isterinya yang sedang mengandung.
Baca Juga:
- Peminat Indonesia Pelawa Safawi Rasid Beraksi Di Liga 1
- Malaysia vs Solomon Islands: Harimau Malaya Kehilangan Khidmat Natxo Insa
- Natxo Insa Dan Shahrel Fikri Kembali Dipanggil Sertai Harimau Malaya
Menurut Safawi, isterinya kini sedang mengandung enam bulan dan itu adalah sebab utama beliau meraikan jaringan dengan memasukkan bola ke dalam baju pada perlawanan semalam.
“Itu (gol) tadi hadiah untuk isteri saya. Jadi doakan agar kami semua selamat. Usia kandungan sudah memasuki enam bulan,” kata Safawi menurut perkongsian Shoot.
Safawi Rasid kembali beraksi bersama skuad kebangsaan setelah terlepas pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon meletakkan Safawi di bangku simpanan dan bekas pemain Ratchaburi itu dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Arif Aiman.
Pemain berusia 26 tahun itu memanfaatkan peluang dengan sebaik mungkin dimana beliau melakukan kawalan bola yang sangat baik dan membuat rembatan dengan kaki kiri sekaligus menjaringkan gol ketiga negara.
Selain Safawi, tiga lagi pemain turut menjaringkan gol iaitu Paulo Josue, Arif Aiman dan Lee Tuck sekaligus melengkapkan kemenangan 4-1 pasukan negara ke atas Solomon Islands.
Selepas ini, Malaysia akan turun menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini dan Pan-gon dijangka membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.
Pan-gon tidak dapat menggunakan khidmat penyerang tulen pada aksi semalam dan beliau mungkin menurunkan Shahrel Fikri pada perlawanan kedua sekiranya penyerang Negeri Sembilan itu sempat pulih dari kecederaan yang dialami.