Walaupun tiada kelibat ramai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam skuad Harimau Malaya di Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, namun kelab itu tetap menyumbang dengan meminjamkan kanvas untuk tutup padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNB) menjelang aksi menentang Laos malam ini.
Dengan keadaan cuaca tidak menentu, hujan lebat diramalkan berlaku pada sebelah petang ini. Situasi tersebut bakal memberi kesan sehingga mengakibatkan padang bertukar jadi becak.
Canvas Larkin @OfficialJohor digunakan untuk memelihara padang SNBJ dari hujan menjelang perlawanan Harimau Malaya di Piala AFF. Canvas ini juga digunakan sebelum final Piala FA & Piala Malaysia untuk memastikan keadaan padang baik. @HRHJohorII pic.twitter.com/ru4PBXg500
— Vijhay Vick (@vijhayvick) December 24, 2022
Bagi mengatasi masalah itu, kanvas berwarna hijau dipinjamkan oleh JDT untuk mengelakkan air bertakungan sekaligus memastikan keadaan padang berada di tahap terbaik sebelum perlawanan bermula.
Sebelum ini, kanvas tersebut pernah digunakan dalam perlawanan akhir Piala FA 2022 ketika JDT menentang Terengganu pada 10 September lepas.
Kanvas itu sebenarnya milik Stadium Larkin dan ia adalah langkah proaktif diambil pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) bagi memastikan kelancaran final Piala FA tanpa berhadapan masalah padang basah.
Tindakan TMJ meminjamkan kanvas kepada pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil turut mendapat pujian daripada para peminat bola sepak tempatan kerana ia langkah yang tepat supaya tiada lagi masalah padang becak.
Sebelum ini, padang stadium tersebut rosak teruk ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 sehingga mengundang kritikan daripada pelbagai pihak. Malah, pihak Perbadanan Stadium Malaysia(PSM) turut dikecam kerana menggunakan penyodok untuk mengeluarkan air daripada permukaan padang.
Padang Stadium Nasional Bukit Jalil ditutup dengan kanvas sebelum aksi final Piala FA malam ini.
Saksikan siaran langsung di saluran TV9 jam 8.30 malam ini. Anda juga boleh menyaksikan di Unifi TV 109, saluran Astro 149, myFreeview 109 dan strim di tonton.#PialaFA2022 pic.twitter.com/Rks1h4UHqT
— VOCKET FC (@vocketfc) September 10, 2022
TMJ sentiasa menitik berat mengenai keadaan padang di stadium tersebut memandangkan ia adalah stadium terbesar di negara ini. Buktinya, beliau mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ.
Mengikut perancangan, proses penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan bermula pada bulan Mac 2023.
Rumput jenis ‘cowgrass’ ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut, jadi ada pemain bola berpendapat bahawa cowgrass bukan rumput yang ideal kerana bola akan duduk lebih dalam dan susah disepak. Ia juga menjadi masalah apabila terjahan dilakukan kerana rumput akan mudah tercabut.
Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.