Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan semangat juang luar biasa untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Malaysia Masters 2023 selepas berjaya menundukkan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Baca Juga:
- Malaysia Masters 2023: Kemenangan Dramatik Bawa Pearly-Thinaah Ke Suku Akhir
- Malaysia Masters 2023: Sektor Beregu Cemerlang, Lee Zii Jia Tersingkir
- Malaysia Masters 2023: Fajar Alfian-Rian Ardianto Tersingkir Awal
Ia merupakan kemenangan ketiga dilakarkan oleh Pearly-Thinaah dalam enam pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasangan.
Beraksi selama satu jam 29 minit pada perlawanan pusingan 16 petang semalam pada mulanya dilihat menjadi faktor Pearly dan Thinaah tidak mampu mempamerkan aksi agresif seperti kebiasaan terutamanya pada set pertama.
Tambahan pula pasangan dari Jepun tersebut bijak merangka serangan untuk memerangkap Pearly dan Thinaah menerusi pukulan ‘drop’ di hadapan gelanggang serta kental bertahan menangkis pukulan ‘smash’ lawan mereka itu.
Strategi itu jelas membuahkan hasil apabila Yuki-Sayaka tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama dengan mata 21-13.
Namun bagaikan mendapat tonik berguna pada waktu rehat, pasangan beregu ranking ke-11 dunia itu mempamerkan kebangkitan luar biasa pada set kedua.
Meskipun kepenatan jelas kelihatan pada set kedua, gandingan negara itu tidak mudah menyerah kalah dengan mempamerkan semangat juang tinggi menghadapi asakan lawan.
Lebih mendebarkan dan menggamatkan Axiata Arena, mereka bangkit daripada ketinggalan selepas rehat ‘interval’ untuk mencatatkan kemenangan 21-19 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Aksi di set ketiga juga tidak kurang hebatnya apabila kelebihan 6-1 dimiliki Yuki-Sayaka dipadamkan oleh Pearly dan Thinaah tetapi pasangan Jepun itu masih berupaya memimpin perlawanan 11-10 ketika ‘interval’.
Sorakan padu para penyokong serta ketahanan mental tahap tertinggi jelas menjadi aset berguna buat Pearly dan Thinaah untuk mengesahkan kemenangan 21-16 sekali gus mara ke separuh akhir dalam tempoh masa satu jam 51 minit.
Menanti Pearly-Thinaah petang esok ialah pemenang antara Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang beraksi menentang Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam satu lagi aksi suku akhir.