Sektor beregu mempamerkan kecemerlangan pada hari ketiga Kejohanan Malaysia Masters 2023 apabila kesemua wakil negara yang beraksi mara ke suku akhir pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Baca Juga:
- Malaysia Masters 2023: Kemenangan Dramatik Bawa Pearly-Thinaah Ke Suku Akhir
- Malaysia Masters 2023: Lee Zii Jia Selamatkan Maruah Kem Negara Di Hari Kedua
- Malaysia Masters 2023: Ong Yew Sin-Teo Ee Yi Lepasi Cabaran Awal
Selepas Pearly Tan-M. Thinaah terlebih dahulu mengesahkan tempat ke suku akhir, tiga lagi pasangan negara mengiringi langkah beregu wanita tersebut.
Bermula dengaong n Tee Kai Wun-Man Wei Chong yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan pasangan dari Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 19-21, 21-16, 21-13 dalam tempoh 57 minit.
Kemudiannya giliran beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula mempamerkan aksi tangkas bagi menundukkan wakil Korea Selatan, Choi Solgyu-Kim Won Ho menerusi kemenangan ‘straight set’ 21-19, 21-14.
Kemenangan keempat buat wakil negara hadir pada perlawanan terakhir hari ini apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengenepikan cabaran pasangan dari Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po-Han 15-21, 21-12, 21-19.
Bagaimanapun, hasrat peminat badminton negara untuk melihat Lee Zii Jia turut sama ke suku akhir tidak kesampaian selepas beliau tunduk kepada pemain Chinese Taipei, Lin Chun-Yi.
Zii Jia yang tewas pada set pertama 19-21, bangkit dengan kemenangan 21-16 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, beliau kelihatan berada dalam keadaan agak kepenatan sehingga membataskan aksinya sekali gus tumpas 15-21.
Suku akhir Malaysia Masters 2023 yang berlangsung esok menyaksikan Pearly dan Thinaah akan berhadapan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, Kai Wun-Wei Chong bertemu Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, Aaron-Wooi Yik menanti cabaran Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin manakala Yew Sin-Ee Yi bakal membuat perhitungan dengan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.