Hasrat untuk melihat gandingan Pearly Tan-M.Thinaah meraih gelaran juara Malaysia Masters 2023 tidak kesampaian apabila mereka tunduk di tangan Baek Ha Na-Lee So Hee pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Skrip sama seperti tiga perlawanan sebelum ini yang perlu dihadapi pasangan beregu wanita nombor satu negara itu menyaksikan mereka beraksi dalam tempoh agak lama (satu jam 41 minit).
Malah, semangat juang tinggi ditampilkan dalam mengerah kudrat pastinya membuatkan peminat badminton negara berbangga dengan mereka.
Pearly dan Thinaah terlepas peluang keemasan untuk mengesahkan set pertama menjadi milik mereka setelah mendapat kelebihan 20-17.
Namun, pasangan Korea Selatan yang menduduki ranking keenam dunia itu menyerap tekanan dengan baik untuk bangkit sekali gus memenangi set pertama dengan keputusan 22-20.
Pearly dan Thinaah bagaimanapun bangkit dengan penuh bergaya apabila memenangi set kedua dengan mudah 21-8.
Kelebihan dimiliki pasangan negara pada awal set penentuan bagaimanapun tidak mampu dipertahankan sehingga membolehkan Ha Na-So Hee menguasai permainan sekali gus memenangi permainan dengan keputusan 21-17.
Tambahan pula, Pearly dan Thinaah dilihat sudah berada dalam keadaan penat walaupun mereka cuba bangkit pada lewat aksi.
Status selaku juara Malaysia Masters 2023 itu membolehkan Baek Ha Na-Lee So Hee memenangi hadiah wang tunai bernilai $33,180 manakala Pearly dan Thinaah pula membawa pulang $15,960.
Ia merupakan podium pertama buat pasangan negara itu selepas kali terakhir muncul juara dalam Kejohanan Terbuka Perancis pada tahun lalu dimana kejohanan tersebut berstatus Series 750.