Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dipelawa melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan di kediaman rasminya, hari ini, bagi membincangkan hubungan dua hala dalam pembangunan bola sepak.
Selain mencari jalan mengukuhkan hubungan dua hala dari sudut pembangunan bola sepak sebagai keutamaan, turut dibincangkan bidaan Arab Saudi untuk menjadi hos pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 buat kali pertama serta Sukan Asia ke-21 pada 2030.
Arab Saudi secara rasmi melancarkan bidaan sebagai tuan rumah Piala Asia AFC 2027, dengan memperkenalkan logo bidaan dan slogan ‘Forward for Asia’, September lalu sebagai antara kunci utama dalam menyempurnakan gagasan Wawasan 2030 Arab Saudi, rangka kerja strategik yang dilancarkan oleh Putera Mohammad bin Salman untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak, sambil mempelbagaikan ekonominya selain mengutamakan sektor infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.
Negara yang kaya dengan sumber minyak itu tidak pernah menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia selepas kali terakhir mereka cuba membida hak tuan rumah pada tahun tahun 2007.
Empat lagi negara – India, Iran, Qatar dan Uzbekistan – juga akan membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan paling berprestij di benua Asia. Bagi Sukan Asia 2030 pula, bandaraya Riyadh bersaing dengan Doha, ibu negara Qatar, untuk mendapatkan hak penganjuran.
“Dalam pertemuan ini kami membincangkan kerjasama di antara dua negara dengan menjadikan bola sepak sebagai pemangkin.
“Kami bertukar pandangan dalam usaha membangunkan bola sepak bukan sahaja untuk negara masing-masing tetapi buat seluruh keluarga bola sepak Asia khususnya.
“Antara lain turut dibincangkan mengenai pembangunan bola sepak wanita dan futsal serta perkembangan bola sepak semasa,” kata Datuk Haji Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Selaku antara gergasi Asia dari Timur Tengah, Arab Saudi menjuarai Piala Asia sebanyak tiga kali pada 1984, 1988 dan 1996, selain layak ke Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali setakat ini – 1994, 1998, 2002, 2006 dan 2018.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
Pasukan Selangor Dan UiTM FC Terpaksa Beraksi Diluar Lembah Klang Kerana PKPB