Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan kelibat bintang berkelas dunia, Lukas Podolski berentap menentang juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League 2020 mungkin tidak menjadi kenyataan.

Menurut sebuah akhbar berbahasa inggeris dari Jepun iaitu Japan Times, kelab dari Amerika Syarikat, Chicago Fire dan kelab divisyen 1 Poland, Gornik Zabrze dilaporkan berminat untuk memancing bekas penyerang skuad kebangsaan Jerman itu.

Pemain yang berusia 34 tahun itu baru sahaja membantu Vissel Kobel menjuarai Emperor’s Cup selepas menewaskan Kashima Antlers, 2-0 sekaligus mendapat tiket automatik beraksi dalam saingan AFC Champions League 2020.

Dengan kemenangan tersebut, Vissel Kobe akan berada dalam kumpulan G bersama juara Piala FA Korea Selatan iaitu Suwon Bluewings, juara Liga Super China (Guangzhou Evergrande) serta JDT.

Podolski menyertai Vissel Kobe pada tahun 2017 dengan kontrak selama 2 tahun setengah. Sepanjang beraksi dalam saingan J-League 1, beliau telah menjaringkan 15 gol dalam 52 penampilan.

Kelibat bekas penyerang Barcelona dan Atletico Madrid iaitu David Villa turut tidak akan kelihatan di Stadium Sultan Ibrahim kerana pemain tersebut mengambil keputusan untuk bersara daripada sukan bola sepak pada bulan ini.

Selain Podolski, Vissel Kobe juga bakal kehilangan seorang lagi bintang berkelas dunia iaitu Andres Iniesta. Bekas pemain skuad kebangsaan Sepanyol dan FC Barcelona itu dikhabarkan bakal berhijrah ke saingan Liga Argentina apabila mengadakan rundingan bersama Estudiantes de La Plata bulan lalu.

Presiden Estudiantes, Juan Sebastian Veron telah mengesahkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Iniesta dan tidak mustahil pemenang Piala Dunia itu kembali beraksi bersama bekas rakan sepasukan di Barcelona, Javier Mascherano.

Kontrak Iniesta bersama Vissel Kobe akan berakhir pada 2021 dimana beliau telah beraksi bersama kelab tersebut sejak 2018. Pemain yang pernah mencipta gandingan emas bersama Xavi Hernandez ini menjaringkan 10 gol dan membantu Vissel menamatkan saingan J-League 1 di tangga ke-8.

Pada awal tahun ini, Iniesta menyatakan beliau akan mendalami dunia kejurulatihan apabila bersara daripada pentas bola sepak profesional.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Malas Bantu Pertahanan Punca Nguyen Cong Phuong Gagal Mendapat Tempat Di Kelab Sint-Truiden VV Belgium

Shin Tae-Yong Tandatangani Kontrak Sebagai Jurulatih Indonesia Selama 4 Tahun

11 Pemain Dari Filipina Berjaya Tambat Hati 8 Kelab Dalam Saingan Thai League 1 Musim 2020

Sumber