Lionel Messi terus memainkan peranan penting buat Inter Miami untuk menggapai kemenangan selepas menyumbangkan dua gol ketika bertemu Atlanta United.

Baca Juga:

Hanya memerlukan 22 minit untuk menjaringkan dua jaringan tersebut, ia sudah cukup untuk membantu Inter Miami menewaskan lawan tersebut dengan keputusan 4-0 dalam saingan Piala Liga.

Perlawanan di DRV PNK Stadium itu juga menyaksikan Messi kembali bergandingan bersama Sergio Busquets di kesebelasan utama.

Kombinasi mantap dua pemain tersebut masih dapat disaksikan selepas Busquets melakukan hantaran jauh yang cukup baik kepada Messi pada minit kelapan.

Hantaran kemas tersebut juga membolehkan bintang Argentina itu melakukan gerakan solo untuk menewaskan Brad Guzan di gawangnya.

Memasuki minit ke-22, Messi yang tidak dikawal pertahanan Atlanta United mudah menolak masuk bola hasil hantaran ‘cutback’ Robert Taylor untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Taylor kemudiannya menambah dua lagi gol skuad kendalian Gerardo Tata Martino untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut.

Lebih tepat untuk diperkatakan, dua kemenangan itu diraih sebaik sahaja Lionel Messi dan Sergio Busquets disenaraikan dalam pasukan untuk menghadapi perlawanan menentang Cruz Azul dan Atlanta United.

Messi juga menjaringkan gol pada lewat permainan ketika menentang Cruz Azul yang turut merupakan gol kemenangan buat Inter Miami pada minit ke-94.

Dengan sumbangan besar yang ditampilkan oleh Messi, Inter Miami dilihat memiliki peluang cerah untuk meninggalkan kedudukan terbawah yang sedang diduduki pada ketika ini dalam kempen Major League Soccer (MLS) bahagian Eastern Conference.

Selepas mengharungi 22 perlawanan, Inter Miami hanya mampu mencatatkan lima kemenangan, tiga keputusan seri dan 14 kekalahan untuk mengumpul 18 mata.