Minggu lepas, penerbit permainan video dari Jepun, Konami telah melancarkan Pro Evolution Soccer 2021 season update (PES 2021) di semua platform seperti PC, PS4 dan juga Xbox One.
Ia dikatakan sama dengan PES 2020 tetapi yang membezakannya hanyalah dari segi corak permainan, visual dan kemaskini barisan pemain untuk musim 2020/2021.
PES kini semakin popular dan menjadi pilihan dalam kalangan peminat bola sepak Asia sejak Konami mendapat lesen eksklusif AFC Champions League.
Malah, PES juga menjadi pilihan utama pengendali Liga Jepun, China, Thailand dan Indonesia dalam menganjurkan kejohanan esports (Football e-League) yang melibatkan kelab-kelab bola sepak professional.
Pada tahun 1996, PES mula menjadi pencabar terkuat satu lagi permainan video bola sepak keluaran EA Sports iaitu FIFA dengan menggunakan nama Winning Eleven untuk pasaran Asia.
Sejak itu, PES dan FIFA sentiasa bersaing hebat mempromosi gaya permainan mereka namun PES tewas dari segi perlesenan pasukan dimana EA Sports telah monopoli hak perlesenan beberapa liga utama di dunia.
Vocket FC telah mendapatkan pandangan daripada Presiden PES Malaysia, Ahmad Yazid Abdul Rahman mengenai kelebihan memiliki PES 2021 dan beliau memberikan 6 sebab kenapa PES 2021 kali ini lebih menarik berbanding permainan video bola sepak yang lain.
1. Corak permainan yang lebih realistik
Bagi yang pernah bermain PES edisi 2020, anda pasti dapat merasai perbezaan dari segi corak permainan (gameplay) dimana ia lebih realistik seolah-olah sedang bermain bola sepak sebenar dalam edisi 2021.
Menurut laporan South China Morning Post, beberapa pemain bola sepak profesional telah diberi peluang untuk merasai pengalaman bermain PES 2021, mereka mendapati sistem permainan lebih menarik dan tersusun berbanding sebelumnya.
2. Kurang perlanggaran mengarut
Konami kali ini turut menambahbaik sistem perlanggaran untuk mengurangkan kekerapan perlanggaran ‘over-powered body contact’ antara pemain seperti mana yang terdapat dalam PES 2020.
Jadi, tiada lagi isu pemain yang mempunyai fizikal rating tinggi merempuh masuk ke gawang gol lawan sesuka hati. Jika ada pemain pertahanan terlepas, mereka masih boleh mengejar penyerang lawan sekaligus menjadikan saingan lebih sengit serta menyeronokkan.
3. Gerakan gelecek yang lebih responsif
Satu lagi kelainan yang terdapat dalam PES 2021 adalah dari segi gaya gerakan gelecek. Dalam PES 2020, responsif terhadap gelecekan terasa terlalu lembab dan agak berat sehingga menyukarkan anda untuk merancang gaya permainan yang dimahukan.
Kalau dalam PES 2021, reaksi pemain lebih cepat dan lebih mudah lari jika bola berada di kaki. Selain itu, tiada lagi isu ‘ball control out’ seperti yang terdapat dalam PES 2020.
Tetapi ia bukan bermakna gerakan gelecek menjadi lebih mudah sebaliknya ia menjadi satu cabaran kepada anda untuk belajar skill baharu.
4. Hantaran yang tepat
Satu lagi penambahbaik yang paling disukai oleh peminat ialah dari segi hantaran pemain ketika berada dalam permainan. Menurut Yazid, corak permainan ‘one-touch football’ dalam PES 2021 lebih menarik daripada sebelumnya.
Bermakna tiada lagi hantaran mengarut atau corak hantaran ping-pong kerana Konami telah mengubahkannya lebih realistik dengan gaya bola sepak moden. Namun, arah pergerakan bola itu mudah dibaca.
5. Sistem pengadilan yang lebih baik
Ketika PES 2020 dilancarkan, ramai peminat mempertikaikan kualiti pengadilan yang dilihat tidak logik dengan situasi perlawanan. Malah, pengadil mudah memberikan kad merah walaupun tiada kekasaran terhadap lawan.
Bagaimanapun, perubahan itu dapat dilihat dengan jelas dalam PES 2021 apabila pengadil kali ini membuat keputusan yang betul dan adil. Misalnya, terjahan keras dari belakang dan kekasaran (tolakan) dalam kotak penalti dikenakan kad merah.
Dari satu tahun ke tahun yang seterusnya, Konami sentiasa berusaha untuk menambah baik dari segi grafik, visual pemain serta corak permainan supaya menepati selera para peminat sukan bola sepak.
Untuk edisi PES 2022, Konami akan menggunakan enjin baharu, iaitu Unreal Engine dari Epic Games. Mereka juga kini sedang fokus untuk misi yang lebih besar untuk merampas memonopoli lesen liga bola sepak dunia daripada FIFA.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Dua Penyerang Baharu Bakal Berikan Saingan Kepada Matyo Musim Hadapan
Al Hilal Disingkirkan Dari Saingan ACL Selepas Senaraikan Hanya 11 Pemain Dalam “Matchday Squad”
Mario Gomez Rindu Melatih Pasukan Liga Malaysia, Minat Untuk Bersama Selangor Jika Ada Tawaran