Ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim tetap berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan Christian Obiozor walaupun penyudah penyerang tersebut masih tumpul ketika perlawanan bertemu Kuching City malam tadi.

Baca Juga:

Perak berjaya mencatatkan kemenangan sulung 2-0 pada aksi tersebut yang menyaksikan pemain import dari Korea Selatan, Seo Seonung menjaringkan kedua-dua gol.

Meskipun begitu, Teong Kim tetap melihat terdapat sisi positif pada aksi Obiozor jika melihatkan kepada kerja kerasnya dalam membantu pasukan dimana beliau berjaya mencipta bantuan jaringan ketika gol pertama dijaringkan oleh Seonung.

“Kerana dia sangat berusaha dalam permainan, dia berusaha semasa kita bertahan. Bagi saya itu sudah cukup walaupun dia tidak menjaringkan gol ketika mendapat peluang tersebut,” ujar Teong Kim bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Tidak mengapa mungkin perlawanan lain dia akan menjaringkan gol. Tetapi penting adalah usaha dia. Penting bagi saya sebagai seorang jurulatih adalah usaha daripada pemain-pemain saya.”

“Sudah pastinya saya mengharapkan Christian [Obiozor] menjaringkan gol, Hadi [Fayyadh] juga mendapatkan jaringan. Bukan hanya pada perlawanan malam ini.”

“Sejak pertama kali bermain dalam saingan liga saya mengharapkannya tetapi seperti saya katakan, kita perlu lebih bersabar. Ini adalah pasukan baharu,” tambah Datuk Lim Teong Kim lagi.

Selepas berakhir empat perlawanan liga dan satu aksi Piala FA, Obiozor yang pernah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Nigeria hanya menjaringkan satu gol ketika bertemu Sri Pahang (Piala FA) tempoh hari.