Perak dan Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi kesembilan Liga Super Malaysia 2023 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Baca Juga:
- Lim Teong Kim Harap Penyokong Perak Bersabar Dan Tunggu Hasilnya
- Khalid Jamlus Bersuara Mengenai Situasi Semasa Perak, Beri Pendapat Mengenai Lim Teong Kim
- Negeri Sembilan vs JDT: K. Devan Beri Penjelasan Mengenai ‘Kehilangan’ Herold Goulon
Keputusan seri yang dicatatkan itu sekali gus tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan dimana Negeri Sembilan berada di tangga kesembilan dengan 10 mata manakala Perak dua anak tangga dibawah selepas mengumpul enam mata.
Beraksi di laman sendiri, Perak bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi penyerang muda, Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran jauh dilakukan Raja Imran Shah Raja Amin yang terus mencari Alif dan beliau tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Tersentak dengan gol tersebut, Negeri Sembilan bangkit dengan aksi lebih baik sehingga berjaya mendapat peluang terbaik pada minit ke-10 dan 17.
Bagaimanapun, percubaan Casagrande Anselmo Arruda diselamatkan dengan baik penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran manakala jaringan Che Rashid dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Selepas itu, Perak pula mendapat peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-24 tetapi rembatan Shafizi Iqmal Md Khirudin dalam kawasan penalti dinafikan Sikh Izhan.
Ketika pemain sudah bersedia untuk melangkah ke bilik persalinan untuk rehat babak pertama, Nasrullah Hanif Johan terlepas peluang keemasan apabila tandukannya ketika tidak dikawal pertahanan Perak hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan menggandakan asakan dengan berpaksikan kepada kelincahan Levy Madinda untuk memberikan masalah kepada jentera pertahanan tuan rumah.
Ia dibuktikan apabila pemain kelahiran Gabon itu meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti, namun hanya sedikit tersasar pada minit ke-49.
Madinda kemudiannya melakukan lorongan cantik kepada Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-70 yang kemudiannya tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang bagi kembali menyamakan kedudukan.
Perlawanan selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan mendapat beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan gol kemenangan terutamanya menerusi Hadi Fayyadh dan Shahrel Fikri tetapi penyudah tumpul menggagalkan usaha mereka bagi berkongsi satu mata.