Kedah Darul Aman (KDA) merencatkan sedikit pesta Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk lebih awal muncul juara Liga Super Malaysia 2023 apabila mengikat kelab gergasi tanah air itu 3-3 pada aksi ke-21 yang berlangsung sebentar tadi.
Baca Juga:
- JDT Perlu Satu Mata Lagi Bergelar Juara Liga Super 2023
- ACL 2023/24: BG Pathum United Akui JDT Lawan Yang Sukar
- Piala Malaysia 2023: JDT Berpesta Gol Belasah Kelantan
Aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu menyaksikan satu permainan yang berintensiti tinggi dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.
Malah, anak buah Nafuzi Zain juga tidak memberikan laluan mudah kepada JDT untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus menghalang rekod kemenangan 100 peratus JDT pada musim ini.
Bukan sahaja tekanan hebat diberikan malah Kedah turut memiliki kelebihan dua jaringan menerusi jaringan yang dihasilkan oleh Ifedayo Olusegun dan Manuel Ott.
Tetapi, semangat juang serta mentaliti tinggi menyaksikan JDT dapat bangkit sehingga pada satu masa dapat mendahului tuan rumah.
JDT tersentak pada minit ke-36 selepas Ifedayo yang tidak dikawal pertahanan lawan ketika situasi sepakan penjuru berjaya menanduk masuk bola untuk meletakkan Kedah dihadapan.
Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan tetapi rembatan Bergson da Silva dalam kawasan penalti diselamatkan oleh Ifwat Akmal Chek Kassim.
Penyokong Kedah terus melonjak kegembiraan pada minit ke-50 setelah percubaan leret Manuel Ott dalam kawasan penalti selepas menerima lorongan Hidalgo berjaya menewaskan Syihan Hazmi.
Ketinggalan dua gol, JDT menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil dua minit kemudian apabila tandukan Corbin-Ong ketika situasi sepakan penjuru telah menewaskan Ifwat untuk merapatkan jurang gol.
Jaringan itu jelas menyemarakkan api perjuangan anak buah Esteban Solari dan mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-53.
Namun, percubaan Arif Aiman Mohd Hanapi ketika hanya berhadapan dengan Ifwat diselamatkan dengan baik penjaga gol tersebut.
Kedudukan kembali terikat pada minit ke-56 apabila hantaran lintang Endrick didada dengan baik oleh Bergson dan membolehkan Heberty Fernandes merembat masuk bola yang gagal diselamatkan Ifwat.
Permainan kemudiannya lebih menarik dengan Kedah turut mendapat tiga peluang terbaik tetapi percubaan Ott sedikit tersasar manakala tandukannya diselamatkan Syihan. Sementara itu, percubaan daripada luar kawasan penalti oleh Ifedayo pula sekadar singgah di tiang gol.
KDA bagaimanapun hampa pada minit ke-74 apabila Arif Aiman melakukan larian solo untuk melepasi kawalan empat pemain lawan lalu melakukan rembatan bagi menjadikan kedudukan 3-2.
Ketika JDT sudah berkira-kira untuk meraikan kejayaan muncul juara liga musim ini, Amirbek Juraboev merencatkan impian tersebut hasil jaringan penyamaan dihasilkannya pada masa kecederaan.