Perak berjaya meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 apabila menundukkan Kuching City 2-0 pada aksi keempat yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Kemenangan penting yang diraih anak buah Datuk Lim Teong Kim itu pastinya membuatkan para penyokong Perak tersenyum lebar selepas hanya mencatatkan dua keputusan seri dan satu kekalahan pada tiga aksi lalu.
Lebih menarik untuk diperkatakan, Perak masih belum dibolosi buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan liga musim ini.
Keazaman untuk mengutip tiga mata penuh jelas terpancar apabila Perak mendapat peluang terbaik seawal minit kedua tetapi percubaan Seo Seonung selepas menerima hantaran Hadi Fayyadh Abdul Razak diselamatkan penjaga gol Kuching City, Shaiful Wazizi Mohammad.
Jaringan dinantikan kem Perak hadir pada minit ke-41 susulan rembatan Seonung yang gagal ditangkap kemas Shaiful Wazizi sekali gus melepasi celah kakinya untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Irfan Bakti Abu Salim mendapat dua peluang terbaik untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi rembatan Abu Kamara pada minit ke-44 digagalkan Bryan See Tian Keat.
Seminit kemudian, Mohamad Alif Hassan pula terlepas peluang keemasan selepas rembatan jarak dekat diledakkannya sekadar singgah di palang gol.
Seo Seonung sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila rembatannya daripada luar kawasan penalti pada minit ke-58 selepas menerima hantaran Muhammad Faris Izdiham Awang Kechik berjaya membolosi gawang Kuching City.
Tiga mata penuh yang diraih menyaksikan Perak melonjak ke tangga keenam dengan lima mata manakala Kuching City pula di kedudukan ke-10 berbekalkan tiga mata diraih setakat ini.