Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Super Malaysia 2023 apabila mudah mencatatkan kemenangan 6-1 ke atas KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Tiga mata diraih itu juga turut masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus pada musim ini selepas mengharungi 15 perlawanan.

Kemenangan yang terus meletakkan skuad Harimau Selatan di tangga teratas carta liga dengan kelebihan 11 mata berbanding pencabar terdekat, Selangor.

Seperti dijangka, JDT tidak perlu menunggu lama untuk memberikan ancaman bahaya ke kubu lawan apabila Bergson da Silva mendapat peluang seawal minit kedua.

Namun, percubaan leret dilakukannya dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol KL City, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin.

Gol pembukaan tuan rumah terhasil pada minit ke-12 selepas percubaan cuba dilakukan Leandro Velazquez dikuis dengan baik Diogo Luis Santo untuk meletakkan JDT dihadapan.

Hanya berselang seminit kemudian, giliran Arif Aiman Mohd Hanapi pula menemui sentuhan jaringan susulan rembatannya berjaya melalui celah kaki Muhammad Azim bagi melebarkan penguasaan.

Diogo menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-35 apabila beliau tidak melepaskan peluang untuk menanduk masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup berkualiti daripada Matthew Davies.

Pemain import kelahiran Brazil itu kemudiannya melengkapkan hatrik ketika aksi memasuki minit ke-44 menerusi percubaan ‘placing’ dilakukannya dalam kawasan penalti.

Anak buah Bojan Hodak memulakan aksi babak kedua dengan baik sehingga berjaya merapatkan jurang hasil jaringan dilakukan oleh pemain pertahanan, Matko Zirdum pada minit ke-54.

Tetapi, ia tidak langsung merentap semangat juang JDT bagi kembali mempamerkan corak permainan intensiti tinggi seperti kebiasaan.

Ia jelas dibuktikan dengan dua pemain gantian iaitu Safiq Rahim dan Akhyar Abdul Rashid menambah gol pada minit ke-86 dan 88 sekali gus memastikan mata ke-45 buat mereka setakat ini.

JDT dan KL City akan bertemu sekali lagi pada 22 Julai di gelanggang sama bagi memburu kejuaraan Piala FA 2023.