Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kempen Liga Super Malaysia 2021 apabila berjaya menundukkan Selangor 3-1 pada aksi ke-15 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Kemenangan penting itu juga diserikan lagi dengan kekalahan pasukan di tangga kedua, Terengganu ditangan Melaka United 0-2 bagi membolehkan skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan enam mata berbanding pencabar terdekat itu.
Tidak banyak yang dapat diperkatakan pada perlawanan babak pertama apabila hanya dua percubaan dapat dijelmakan menerusi Safawi Rasid dan pemain import Selangor, Olivier Buff pada 45 minit awal.
Namun, ketika kedua-dua pasukan sudah berkira-kira untuk masuk ke bilik persalinan bagi rehat separuh masa pertamna, Bergson da Silva berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran Matthew Davies untuk memberikan kelebihan buat pasukan pelawat.
Tempo permainan lebih menarik ditampilkan kedua-dua pasukan pada babak kedua dengan skuad kendalian Benjamin Mora itu kelihatan begitu bernafsu untuk menambah jaringan.
Ia jelas terbukti apabila JDT berjaya melakukan serangan balas pantas pada minit ke-55 yang dimulakan Cabrera tetapi lorongan baiknya kepada Safawi Rasid gagal disudahkan dengan baik pemain bintang itu apabila penjaga gol, Khairulazhan Khalid lebih bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.
Juara tujuh musim saingan Liga Super berturut-turut itu bagaimanapun tersentak berselang tujuh minit kemudian selepas Ifedayo Olusegun kembali menyamakan kedudukan.
Jaringan tersebut berpunca daripada kegagalan pertahanan JDT untuk mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya membolehkan penjaring terbanyak itu yang tidak dikawal sekali gus mudah menanduk masuk bola tersebut.
Bergson hampir kembali meletakkan JDT di hadapan setelah beliau menerima dua peluang terbaik, namun percubaan leretnya pada minit ke-71 sedikit tersasar manakala tandukannya berselang seminit kemudian dinafikan Khairulazhan.
Tidak mahu hanya meraih satu mata pada perlawanan ini, kem JDT melonjak kegembiraan ketika perlawanan memasuki minit ke-79 apabila rembatan leret susulan gerakan solo Matthew Davies tidak mampu dihalang Khairulazhan bagi menjadikan kedudukan 2-1.
Pemain gantian, Mohamadou Sumareh berjaya mematikan api perjuangan Selangor pada masa kecederaan apabila beliau yang hanya berhadapan dengan penjaga gol, tidak berdepan masalah untuk mengesahkan kemenangan ke-11 buat JDT musim ini.