Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak letak harapan tinggi dalam saingan Liga Malaysia musim ini berikutan ketiadaan beberapa pemain utama musim lalu yang telah berhijrah ke pasukan lain.
4 tonggak utama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safuwan Baharudin, Saddil Ramdani, Wan Zaharulnizam dan kapten pasukan, Matthew Davies dilepaskan walaupun masih mempunyai baki kontrak dengan Pahang.
Pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain semalam, Pahang dilihat menampilkan tiga pemain import baharu iaitu Ivan Carlos dari Brazil, Adam Reed (Filipina) dan Khalil Khamis (Lubnan).
Dua pemain import musim lalu iaitu Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon turut dikekalkan.
Malah, mereka turut memperkenalkan beberapa muka baharu pemain tempatan seperti Hardee Samsuri, Gopinathan, Sharbini Allawie serta dua pemain pinjaman dari JDT iaitu Fazly Mazlan dan S. Kumahraan.
“Saya tidak berani untuk bercakap tentang sasaran tahun ini, cuma menggalas nama pasukan Pahang, kami sudah pasti mahu yang terbaik. Saya sendiri masih tercari-cari kesebelasan utama Pahang.
“Apa yang kami mahu ialah keserasian antara pemain tempatan dan import selain perlu percaya kepada pengalaman pemain sedia ada, dibantu dengan muka baharu untuk melakukan yang terbaik,” kata Dollah Salleh dipetik dalam Stadium Astro.
Dalam perlawanan pra musim, Pahang tidak dapat menggunakan khidmat pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh yang dilanda kecederaan termasuk pemain pertahanan, Herold Goulon.
Situasi itu sedikit membimbangkan Dollah Salleh menjelang sepak mula Liga Super menentang Selangor di Stadium Darul Makmur pada hari Sabtu ini.
“Kecederaan menyebabkan Sumareh tidak dapat diturunkan dalam lima atau enam perlawanan persahabatan sebelum ini, manakala Goulon sudah 20 hari tidak dapat beraksi kerana baru sembuh,” jelasnya.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Pahang yang mungkin anda terlepas pandang.
Pahang FA Pasukan Pertama Liga Super Mempunyai Aplikasi Mudah Alih