Saingan Liga Jepun bakal menggunakan teknologi Video Assistance Referee (VAR) pada musim hadapan setelah badan pengelola liga bola sepak negara itu menerima cadangan untuk mempercepatkan penggunaan teknologi tersebut dalam satu mesyuarat di Tokyo pada Selasa lalu.
Sebelum ini, J League menyasarkan untuk menggunakan teknologi VAR dalam saingan divisyen teratas iaitu J1 League pada musim 2021 namun cadangan untuk menggunakan teknologi tersebut pada saingan musim hadapan mendapat sokongan daripada ahli gabungan.
Cadangan tersebut diutarakan setelah beberapa insiden berprofil tinggi terjadi membabitkan pengadil dalam saingan Liga setakat ini seperti kegagalan pengadil untuk memberikan jaringan kepada Shonan Bellmare ketika kelab itu menghadapi Urawa Reds Diamond di Stadium Saitama pada Mei lalu.
Sebelum teknologi VAR digunakan secara meluas dalam saingan Liga Jepun, pengadil akan menjalani latihan tentang bagaimana untuk mengendalikan serta menggunakan teknologi tersebut sebaris dengan standard yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Pengelola liga ketika ini sedang membuat persiapan dengan mengadakan kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).
Pengerusi J League, Mitsuru Murai turut menyatakan sokongan beliau untuk VAR digunakan dengan secepeat mungkin dalam saingan liga domestik.
“Jika semua berjalan dengan lancar, ada kemungkinan untuk menggunakan teknologi tersebut (VAR) dalam saingan J1 League pada musim 2020,” katanya.
Pada masa yang sama, pengelola liga memutuskan untuk menghentikan ketiga-tiga saingan J League ketika temasya Sukan Olimpik 2020 Tokyo berlangsung dan mereka akan mengeluarkan jadual baharu bagi musim hadapan pada November ini.