Lebih 40,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2023 antara JDT menentang KL City yang berlangsung pada malam esok.

Bagi membantu kelancaran perlawanan itu, Polis Johor mengesahkan seramai 750 pegawai dan anggota telah dikerah untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium.

Perkembangan itu diumumkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang turut menasihatkan para penyokong dilarang membawa masuk barang berbahaya sehingga menganggu perlawanan.

“Polis akan bekerjasama dengan pihak pengurusan stadium bagi memastikan kelancaran keluar masuk dan tiada perkara tidak diingini.

“Nasihat kita supaya (penyokong) mematuhi peraturan dan arahan polis yang akan kita laksanakan pada hari berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor semalam.

Polis menjangkakan kehadiran penyokong di stadium cukup padat kerana jualan tiket yang diperuntukkan untuk pasukan JDT sudah habis dijual.

Jualan tiket tersebut dibuka sejak 12 Julai menerusi laman web tickethotline.com.my dan ia mendapat sambutan yang cukup mengalakkan daripada para penyokong harimau selatan.

Setiap penyokong boleh membeli dua tiket dengan tiket-tiket perlawanan akan dijual pada harga RM50, RM100, RM150 (MFL Premium & FA Cup Premium) dan RM200 (Grandstand MFL) mengikut tier yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

MFL telah menetapkan lima kategori tiket untuk diagihkan secara sama rata kepada pasukan finalis, JDT dan Kuala Lumpur City sebelum dijual kepada penyokong masing-masing.

Penetapan harga tiket mengikut kategori ini sama seperti yang telah dilakukan oleh MFL pada perlawanan akhir mana-mana kejohanan Piala FA dan juga Piala Malaysia sebelum ini di mana ia memberikan lebih pilihan buat penyokong untuk hadir ke stadium.