Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi menafikan dakwaan bahawa badan induk itu lambat bertindak berhubung isu pergaduhan ketika perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim.

Kenyataan balas itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang mengatakan FAM dalam menangani insiden penyokong Kuala Lumpur City yang dipukul pada malam tersebut.

“FAM bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan.’’

“Untuk makluman, laporan polis telah pun dibuat oleh mangsa pada keesokan harinya selepas insiden berkenaan. Jadi sudah tentu di pihak FAM, kita tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis kerana ia telah menjadi kes polis.’’

“Walau bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini.’’

“FAM selaku badan induk bola sepak negara sememangnya menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak, tidak kira sama ada ia berlaku di dalam padang atau di luar padang yang membabitkan penyokong atau penonton.’’

“FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku ini dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama MFL dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan-perlawanan lain yang akan datang,’’ ujar Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.