Pemain tengah Kelantan FC, Abdul Latiff Suhaimi, akui kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya mengecewakan tetapi mereka perlu menerima hakikat kekuatan lawan yang berada dalam kelas tersendiri.

Baca Juga:

Di atas kertas segalanya sudah sedikit mustahil buat Kelantan FC untuk layak ke pusingan seterusnya namun demi maruah pasukan, pemain-pemain The Red Warriors akan cuba hadirkan tentangan menjelang suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2022 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Tambahnya, Kelantan telah berikan segala yang termampu ditambah kehadiran kira-kira 20,000 penyokong setia The Red Warriors memberikan semangat tambahan kepada pemain-pemain.

“Memang agak mengecewakan dengan kekalahan ini tetapi kami perlu sedar yang JDT merupakan pasukan yang terbesar di Malaysia dan kami akan cuba sedaya upaya bagi perlawanan akan datang.”

“Dalam masa sama, saya berbangga dengan kehadiran penyokong yang datang dari jauh untuk bagi sokongan, malah paling tertinggi setakat ini.”

“Walaupun kami tertinggal, kami terus mencuba dan mencuba, penyokong sentiasa tidak putus memberikan sokongan kepada pemain-pemain.”

Kredit Foto: TRW Kelantan FC

“Jelas keputusan berpihak kepada JDT dan mana tahu ada rezeki di sana nanti walaupun segalanya nampak mustahil untuk kita menang di sana tetapi kami akan cuba sekurang-kurangnya bermain lebih baik dari hari ini,” katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada Sabtu lalu, JDT berjaya menghampakan ribuan penyokong Kelantan melalui gol daripada
Bergson da Silva pada minit 29 sebelum Syafiq Ahmad menggandakan kelebihan di minit 37.

Leandro Velazquez menambah derita tuan rumah dengan gol pada minit 74 selepas bijak menewaskan beberapa pertahanan Kelantan.

Sejak bersama Kelantan di pertengahan musim 2022 dari Penang FC, Latiff dilihat kian selesa di posisi tengah bertahan atau nombor 6 dalam pasukan.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana momentum serta prestasi kembali berada di tahap terbaik kerana sebenarnya saya memang bermain di posisi nombor 6 pada tahun 2016.”

“Jadi apabila jurulatih berikan kembali peluang bermain di posisi ini, saya sememangnya gembira kerana rasa sangat selesa serta mampu berikan yang terbaik dalam tiap perlawanan,” tambah Latiff Suhaimi lagi.