Lebih 30,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Ibrahim apabila tiket untuk perlawanan akhir Piala FA 2023 antara JDT menentang KL City yang akan berlangsung pada 22 Julai 2023 ini sudah habis dijual.

Perkembangan itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Johor Southern Tigers semalam.

Jualan tiket tersebut dibuka sejak 12 Julai menerusi laman web tickethotline.com.my dan ia mendapat sambutan yang cukup mengalakkan daripada para penyokong JDT dan KL City.

Setiap penyokong boleh membeli dua tiket dengan tiket-tiket perlawanan akan dijual pada harga RM50, RM100, RM150 (MFL Premium & FA Cup Premium) dan RM200 (Grandstand MFL) mengikut tier yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

MFL telah menetapkan lima kategori tiket untuk diagihkan secara sama rata kepada pasukan finalis, JDT dan Kuala Lumpur City sebelum dijual kepada penyokong masing-masing.

Penetapan harga tiket mengikut kategori ini sama seperti yang telah dilakukan oleh MFL pada perlawanan akhir mana-mana kejohanan Piala FA dan juga Piala Malaysia sebelum ini di mana ia memberikan lebih pilihan buat penyokong untuk hadir ke stadium.

Istimewa kali ini bagi penyokong yang membeli tiket MFL Grandstand RM200 akan menerima barangan ekslusif perlawanan akhir Piala FA 2023.

Malah, ada juga penyokong Harimau Selatan kecewa tidak berjaya membeli tiket tersebut kerana ini satu-satunya peluang mereka menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari itu melakar sejarah julang Piala FA di halaman sendiri.

Bagaimanapun, difahamkan baki tiket diperuntukkan untuk KL City yang gagal dijual akan dibuka kepada umum setelah mendapat persetujuan daripada kedua-dua pasukan.

Situasi ini sekaligus bakal menyaksikan jumlah penyokong Harimau Selatan kelihatan lebih ramai daripada penyokong skuad warga kota di hari perlawanan.